Skuad Harimau Muda A 'diserang' media Australia

 
BELUM lagi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bermula, skuad Harimau Muda A mula ‘diserang’ dengan satu tuduhan liar.

Semalam, media Australia, Brisbane Times melaporkan, kehadiran skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu akan membuka ruang lebih besar buat sindiket bookie untuk mengatur perlawanan di NPL Queensland.

Laporan itu turut mengimbas kembali beberapa insiden yang berlaku termasuk ketika penjaga gol kelab Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura 2012.

Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas dari sebarang kes skandal atur perlawanan, pihak media Australia itu percaya, kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland.

Ditanya mengenai perkara tersebut, jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee ternyata berang dengan laporan yang dikeluarkan itu yang dianggap karut.

“Saya boleh menerima sebarang pendapat tetapi untuk mengatakan kita membawa bookie, itu adalah satu kenyataan biadap dan tidak masuk akal.

“Saya tidak perlu komen banyak mengenai perkara ini kerana saya percaya semua liga dalam dunia ini memiliki masalah yang sama (skandal mengatur perlawanan).

“Kita beraksi di NPL Queensland dengan kebenaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“NPL Queensland turut memberikan jaminan mereka memiliki skuad pemantau bagi mengawal gejala tidak bermoral ini.

“Jadi, saya menganggap cerita karut ini sebagai satu cabaran lebih getir buat anak-anak buah saya ketika bertandang ke Queensland nanti,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Kim Swee, beliau tidak mahu menjejaskan nama baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila skuad kendaliannya beraksi dalam NPL Queensland mulai 8 Mac depan.

“Tujuan sebenar FAM menghantar skuad Harimau Muda A beraksi dalam NPL Queensland adalah mahu memberikan pendedahan kepada pemain-pemain muda.

“Sudah tentu saya kesal dengan beberapa laporan yang tidak masuk akal ini tetapi kami harus mengamalkan cara lebih profesional.

“Saya tidak mahu Harimau Muda A dituduh sebagai sarang bookie sebaik kedatangan kami ke Queensland,” tegasnya.

Sumber: Kosmo!

1 comment: