Lelaki amuk isteri diintai mati ditembak

 
Alor Gajah: Akibat berang dengan jiran yang didakwa mengintai isterinya mandi, seorang lelaki mengamuk menggunakan senjata tajam, sebelum maut ditembak polis dalam kejadian di Machap Umboo, di sini, malam kelmarin.

Suspek berusia 39 tahun, cedera di perut selepas terkena tembakan polis yang mempertahankan diri dalam kejadian di ladang kelapa sawit, kira-kira jam 9 malam itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Laham, berkata pihaknya menerima laporan daripada jiran suspek yang mendakwa diserang ketika berada di rumah pada jam 3 petang.

Beliau berkata, ketika kejadian, suspek dikatakan naik angin lalu datang ke rumah dan memarahi jirannya yang berusia 41 tahun. Jiran itu didakwa suka mengintai isterinya mandi.

Katanya, suspek kemudian mengetuk pintu rumah menggunakan dua pisau mengakibatkan jirannya ketakutan, selain bimbang dicederakan.

“Selepas dipujuk dua anggota polis, suspek enggan menyerah diri sebelum melarikan diri menggunakan motosikal ke sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.

Mempertahan diri

“Apabila tiba di situ, dia bertindak melibas senjata tajam ke arah polis yang mengekorinya, sebelum anggota terbabit melepas satu das tembakan untuk mempertahankan diri. Tembakan itu tepat mengenai perut suspek,” katanya.

Beliau berkata, bapa kepada dua anak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui dua pisau panjang dan beg berisi pakaian serta motosikal yang ditunggang suspek ketika melarikan diri daripada polis.

“Suspek disahkan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan di Hospital Melaka pada jam 12.40 tengah malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Mohamad berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau pada 1995 mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment