PEKERJA ladang sawit dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut selepas kaki kirinya parah digigit buaya di Kampung Jemboi, Serian, Sarawak, semalam.
SERIAN 17 Feb. - Tindakan nekad seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangan berjaya menyelamatkannya daripada menjadi korban reptilia itu di sungai berhampiran Kampung Jemboi.
Difahamkan, lelaki berusia 41 tahun tersebut sedang membersihkan badannya sebelum buaya sepanjang kira-kira tiga meter secara tiba-tiba menerkam kaki kirinya.
Dalam kejadian pukul 8 malam, mangsa yang merupakan pekerja ladang dari Kalimantan Barat yang enggan dikenali diserang, lantas dia terus mencucuk mata kiri buaya tersebut beberapa kali sehingga melepaskan gigitannya.
"Mujur saya tidak tercampak ke dalam sungai dan sempat mencucuk mata buaya itu walaupun dalam keadaan gelap.
"Saya juga sempat menendang kepala buaya berkenaan sebelum kelibatnya hilang daripada pandangan," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini semalam.
Tambahnya, dia yang telah beberapa tahun mandi di sungai berkenaan tidak menyangka perkara tersebut akan terjadi kepada dirinya.
Katanya, cemas melihat kecederaan serius di kaki kirinya, dia terus menghubungi rakannya untuk dihantar ke Hospital Serian.
"Nasib baik rakan saya bertindak pantas, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk akan menimpa saya akibat kehilangan banyak darah," jelasnya yang terpaksa dipindahkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika mandi di sungai berkenaan.
Sumber: utusan Malaysia
panjang umur
ReplyDeleteBerani sggh!
ReplyDelete