Kain terlucut, warga asing lari bogel elak dicekup

 Gambar hiasan. Imej: prevention.com

Alor Setar: Gara-gara panik akibat diserbu pihak berkuasa, seorang buruh warga asing berlari dalam keadaan bogel apabila kain pelekatnya terlucut ketika melarikan diri untuk mengelak ditahan dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Derga, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, seorang lelaki warga Myanmar turut dilihat memanjat bumbung sebuah rumah satu tingkat dengan hanya memakai seluar dalam bagi mengelak ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri yang menjalankan Ops 6P Bersepadu.


Bagaimanapun, kecekapan anggota penguat kuasa berjaya menghalang kumpulan pekerja warga asing seramai enam orang itu daripada melarikan diri.

Tinjauan mendapati kumpulan pekerja asing terbabit menjadikan rumah yang masih dalam pembinaan itu sebagai tempat tidur walaupun terdapat rumah kongsi disediakan di kawasan tapak pembinaan berkenaan.


Dalam operasi selama empat jam bermula jam 12 malam, kelmarin, seramai 23 anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia membuat serbuan di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini dan Jitra.


Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kedah Aidil Safri Adnan berkata, pihaknya memeriksa seramai 37 warga asing membabitkan warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 27 pendatang asing tanpa izin berusia antara lapan bulan hingga 38 tahun didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.


“Hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, enam lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki Bangladesh dikesan tiada sebarang dokumen perjalanan sah.

“Selain itu, seramai 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan atas kesalahan menetap lebih masa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Sumber: Harian Metro

1 comment:

  1. Hihi.. punyalah nak selamat tapi akhirnya kena cekop juga..

    Suka betul nak tinggal negara kita kan..

    ReplyDelete