Pengalaman baharu Sorensen turut dipaparkan menerusi jurnal Science Translational Medicine.
SEORANG lelaki kudung berusia 36 tahun dari Denmark menjadi individu pertama di dunia menggunakan tangan tiruan yang mempunyai deria sentuhan.
Rekaan tangan tiruan dihasilkan penyelidik dari Switzerland dan Itali itu membolehkan Dennis Sorensen mengawal objek menerusi wayar yang disambungkan pada saraf pangkal lengannya.
Sorensen yang kehilangan tangannya akibat kemalangan sejak hampir 10 tahun lalu telah menjalani prosedur pembedahan di Rom, Januari lalu untuk menguji keberkesanan sistem sentuhan di bawah projek Life Hand 2 terbabit.
Sebanyak empat elektrod ultra nipis ditanam ke dalam saraf Sorensen sebelum sistem tersebut boleh berfungsi.
Menurut salah seorang pereka tangan tiruan tersebut, Silvestro Micera, algoritma komputer turut digunakan bagi menukar isyarat elektrik yang akan bertindak balas untuk menghasilkan rasa sentuhan.
"Pesakit kini bukan hanya boleh merasai kekuatan genggaman tangannya tetapi juga bentuk dan tekstur objek yang dipegang olehnya.
"Susulan daripada kejayaan ini, kami bercadang untuk meneruskan fasa eksperimen seterusnya dalam masa terdekat yang digelar projek HandBot," katanya tanpa memberi butiran lanjut menurut laporan CNN.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment