Sanggup buka pakaian untuk tatapan teman

 Gambar hiasan

Ampang: Termakan pujukan rayu kenalan wanita menyebabkan seorang lelaki sanggup menanggalkan pakaian dan berbogel untuk tatapan temannya itu yang dikenali melalui laman sosial Skype.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila aksinya itu dirakam kenalannya yang baru dikenali sebelum mengugut ingin menyebarkan video itu jika mangsa berusia 33 tahun enggan membayar wang RM5,000.

Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, mangsa pada mulanya mengenali wanita terbabit melalui Facebook (FB) beberapa bulan lalu sebelum wanita itu mula menggodanya, namun ditolak mangsa dengan alasan sudah berkahwin.

“Bagaimanapun, wanita itu licik dan tidak berputus asa serta sentiasa berusaha agar mangsa menjadi kekasihnya.

“Malah, dalam kejadian terbaru kelmarin jam 12 tengah malam, mereka sekali lagi berhubung melalui FB sebelum wanita itu meminta mangsa menggunakan Skype kerana dia ingin melihat wajah mangsa,” katanya.

Sumber berkata, termakan pujuk rayu itu, mangsa akhirnya membuka laman sosial itu sebelum mereka mula berhubung.

“Lebih teruk mangsa yang tergoda mula menanggalkan pakaian dan berbogel tanpa mengetahui gambarnya itu dirakam.

“Selepas beberapa minit, wanita itu memutuskan talian dan membiarkan mangsa terpinga-pinga malah cubaan mangsa menghubungi wanita itu juga gagal,” katanya.

Menurutnya, selang beberapa jam kemudian, mangsa menerima mesej di FB dan meminta dia membayar wang RM5,000 jika tidak mahu video mangsa berbogel disebarkan.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa meminta menunjukkan bukti sebelum wanita terbabit menghantar rakaman videonya berbogel dan memberitahu sudah membuat banyak salinan.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sumber: Harian Metro

2 comments:

  1. Lelaki berumur 33 tahun tapi bodoh amat. Banyak makan kangkung

    ReplyDelete