Tragedi pilu tiga beranak di Sungai Sabai

 Mayat Neelan Raj berjaya dibawa keluar dari anak Sungai Sabai oleh anggota bomba

HULU SELANGOR - Tiga beranak maut dalam keadaan menyayat hati apabila kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu terjunam masuk ke dalam anak Sungai Sabai di Kilometer 69, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Kampung Gumut, Kalumpang, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dua daripada mangsa dipercayai mati lemas setelah terperangkap dalam kereta Proton Waja yang dimasuki air, manakala seorang bayi berusia setahun ditemui maut kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian setelah dibawa arus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Bedin berkata, kesemua mangsa ditemui orang awam di dalam anak sungai tersebut.

“Polis menerima maklumat kira-kira jam 8.30 pagi semalam (kelmarin) mengatakan ada kereta terbabas ke dalam anak sungai di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa terbabas lalu terjunam ke dalam anak sungai dan terbalik,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim berjaya membawa keluar kesemua mangsa.

Katanya, mangsa dikenali sebagai N Valiama, 63, V Puspam, 29, K Neelan Raj, setahun.

“Ketiga-tiga mangsa mempunyai talian saudara di mana Puspam adalah ibu kepada Neelan Raj dan Valiama ibu kepada Puspam.

“Kematian ketiga-tiga mangsa dipercayai akibat lemas kerana tidak ada kesan kecederaan lain seperti luka dan patah,” katanya.

Menurutnya, semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat kelmarin.


Keluar rumah jam 5 pagi

Sementara itu, suami mendiang Puspam, M Kalidas, 29, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, isteri, anak dan ibu mertuanya dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Kuala Kubu Bharu.

“Seperti biasa bila isteri saya nak ke tempat kerja dia akan bawa anak dan emak ke rumah kakak (ipar) di Taman Selesa, Kuala Kubu Bharu.

“Dia akan letak keretanya di sana, selepas itu dia naik bas ke tempat kerja di Kota Damansara. Sebab bas tak masuk sini, jadi dia pergi Kuala Kubu, baru senang dapat bas,” katanya yang tinggal di Taman Rajawali.

Kalidas berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi iaitu selepas beberapa jam kemalangan berlaku.

“Saya dapat panggilan telefon daripada rakan jam 10.30 pagi. Tapi mereka keluarga rumah jam 5 pagi lagi.

“Saya rasa kemalangan berlaku sebaik sahaja mereka keluar rumah tapi ramai yang tidak sedar kejadian itu sebab gelap,” katanya yang masih sedih dengan tragedi yang menimpa keluarganya.

Menurutnya, kejadian hanya disedari oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, mayat mendiang isteri, anak dan ibu mertuanya telah disempurnakan dan dibakar di Krematorium Serendah.

Dalam pada itu, anak mendiang Valiama, V Balamurugan, 30, berkata, ibunya selalu menemani anak dan cucunya ke Kuala Kubu Bharu apabila hendak ke tempat kerja.

Bagaimanapun, dia sedih kerana hayat mereka berakhir dengan tragedi memilukan.

“Emak memang selalu temankan anak dan cucunya di Kuala Kubu tapi tidak sangka berakhir begini,” katanya.

Tambahnya, ibunya juga tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau tanda sebelum meninggal dunia.

Sinar Harian

1 comment: