Juara Piala FA: Ahli-ahli Parlimen pilih...

DEMAM bola sepak Piala FA 2013 bukan hanya melanda seluruh peminat sukan tanah air, malah bahangnya turut dirasai di kalangan ahli-ahli Parlimen.

Para pemimpin bukan sahaja lantang bersidang, malah turut membicarakan perlawanan akhir yang dinanti-nantikan antara pasukan Kelantan dengan Johor Darul Takzim (JDT), malam ini.

Biarpun sibuk membincangkan dasar negara dan kebajikan rakyat, namun fenomena bola sepak tidak terlepas dari bibir wakil rakyat sebagai topik utama ketika menikmati juadah tengah hari dan minum petang sebaik sahaja sidang berhenti rehat.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin teruja apabila diminta mengulas bahang Piala FA musim ini.

"Oleh kerana pemain kegemaran saya adalah Safee Sali, saya akan menyokong di mana beliau berada. Jadi saya akan menyokong Johor Darul Takzim (JDT).

“Saya fikir ini adalah perlawanan menarik kerana Kelantan juga adalah pasukan yang kuat. Mereka mempunyai kekuatan terutama komposisi penyerang dan pertahanan yang agak seimbang.

“Saya ingat ini adalah perlawanan yang menarik dan sengit, apa pun saya tetap yakin JDT akan menang,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen baru-baru ini.

Bagi ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, bukan imbuhan yang menjadi ukuran untuk satu pasukan itu menjadi juara, tetapi semangat kesukanan yang tinggi harus dijiwai setiap pemain.

"Yang penting sekali saya berharap perlawanan ini akan berjalan dengan lancar tanpa berlaku kekecohan. Penyokong juga harus pandai mengawal emosi dan jangan terlalu mengikut perasaan.

"Mengenai perlawanan akhir (malam ini) sudah tentu saya pilih Kelantan. Kelantan mempunyai skil tersendiri, bukan sahaja pasukan tetapi termasuk pemain itu sendiri.

"Dan saya rasa Kelantan mempunyai kelebihan untuk mengatasi JDT dengan jaringan gol 2-1," ujarnya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula berbangga dengan prestasi terkini JDT.

"Saya nampak JDT semakin menyerlah dan saya rasa tidak mustahil pada kali ini keputusan memihak kepada skuad Harimau Selatan.

"Dengan memiliki barisan pemain berstatus bintang, saya yakin JDT akan jadi juara dan menewaskan Kelantan dengan 2-1," kata bekas Menteri Belia dan Sukan ini.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memilih JDT selaku juara Piala FA kerana negeri kelahirannya.

"Saya pasti sokong JDT, pertama saya asal Batu Pahat Johor, kedua sekarang saya ahli Parlimen Johor, kawasan saya Kulai.

"Jadi saya mesti memberi sokongan yang sepenuh-penuhnya kepada JDT. Saya rasa kali ini JDT akan merampas gelaran juara dari Kelantan kerana JDT mempunyai aura dan kehebatan yang memukau.

"Lagipun selepas 15 tahun pasukan JDT baru berjaya menjejakkan kaki di pentas final dan saya yakin peluang ini tidak akan disia-siakan oleh mereka. Mereka mampu mencipta sejarah musim ini. JDT akan menang dengan 2-1," katanya yakin.

Perkara sama disokong oleh ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim apabila beliau mengharapkan kemenangan di pihak JDT.

"Memandangkan saya orang Johor, saya mahu pasukan JDT menang. Dalam bola sepak kita tahu ada menang dan kalah.

"Dan saya percaya semua orang mahu melihat pasukan masing-masing menang. Dulu semasa di Kementerian Belia dan Sukan payah cikit mahu memihak walaupun dalam hati kecil ada.

"Pada kali ini saya melihat peluang memihak kepada JDT kerana setelah lama menunggu akhirnya kita berjaya mara ke pentas final.

"Jadi, saya berharap JDT akan menang walaupun kita tak menafikan pasukan sebuah pasukan yang kuat dan perlu dihormati. Apa pun dalam perlawanan hanya satu pasukan akan menang dan saya yakin JDT menang dengan 3-1," ujar beliau.

Berbeza pula dengan ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang optimis Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut musim ini.

"Sebenarnya sukar untuk menentukan siapa juara Piala FA kali ini kerana masing-masing mempunyai rahsia dan kebolehan tersendiri.

"Lagipun pemain Kelantan tahu taktik sesetengah pemain JDT kerana kebanyakan pemain JDT adalah bekas pemain Kelantan.

"Jadi, bagi saya masing-masing mempunyai strategi tersendiri bagaimana mahu mengawal lawan masing-masing.

"Tetapi berasaskan kepada kekuatan yang ada, saya melihat Kelantan dengan kombinasi pemain yang sedia ada dan pengalaman beraksi di pentas final, saya percaya bahawa final kali Kelantan akan menjadi juara dan mempertahankan gelaran musim lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula memuji semangat kedua-dua pasukan yang akan bertarung di pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

“Masing-masing mempunyai semangat juang yang tinggi dan misi tersendiri. Kelantan mahu mempertahankan kejuaraan manakala JDT memasang impian untuk mencatat sejarah muncul juara selepas 15 tahun.

“Tetapi, saya tetap memilih Kelantan boleh jadi juara, ini kerana melihat kepada semangat berpasukan dan  berdisiplin tinggi saya percaya Kelantan boleh menewaskan JDT meskipun mereka dibarisi pemain berstatus bintang.

"Lagipun itu tidak memberi sebarang makna sebaliknya semangat berpasukan yang akan menentukan siapa juara atau tidak.

"Dan saya juga percaya pemain Kelantan begitu bersemangat untuk menewaskan pemain yang berstatus bintang demi membuktikan kebolehan bahawa status tidak penting dalam sesebuah pasukan," jelas beliau.

Sinar harian


1 comment: