Juara Tinju Ditumbuk Tunang


JUARA Tinju Britain, Gavin McDonnell, 29, ditumbuk oleh tunangnya selepas dia menyepak pintu sebuah pub di Kirk Sandall berhampiran Doncaster, selatan Yorkshire.

Tunang peninju, Sophie Brown bertindak menumbuk Gavin yang ketika itu sedang memegang anak mereka selepas dia terlibat dalam satu pertelingkahan dengan pekerja pub, dan kemudiannya berang lalu menyepak pintu pub selepas diarah keluar dari premis tersebut.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku apabila Gavin serta keluarga tidak berpuas hati dengan makanan yang dipesan oleh mereka sehingga menyebabkan berlaku pertelingkahan mulut.

Pertelingkahan itu berjaya dirakam melalui Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang turut menyaksikan Gavin ditumbuk oleh tunangnya di luar pub.

Rakaman tersebut kemudiannya dimuat naik ke laman sosial Facebook milik pub sehingga menyebabkan ia menjadi viral. Kejadian itu turut difahamkan tidak dilaporkan kepada pihak polis.

Menurut salah seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, terdapat salah faham antara Gavin sekeluarga dengan pemilik pub apabila makanan yang dipesan tidak menepati permintaan mereka.

"Mereka mula menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat antara satu sama lain, malah saya turut mendengar jeritan dan bunyi hentakan pintu," katanya.

Sementara itu, pengurus Gavin, Steffy Bull berkata bahawa peninju tersebut sudah memohon maaf kepada pemilik pub atas kejadian yang berlaku dan mereka juga bersetuju untuk memadam rakaman tersebut daripada Facebook.

"Semestinya Gavin serta keluarga tidak berpuas hati dengan layanan serta perkhidmatan  yang diberikan oleh pub tersebut tetapi Gavin bertindak untuk kembali ke premis untuk memohon maaf," katanya.

Dalam pada itu, Glasshouse Pub mengesahkan kejadian tersebut namun tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.



Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment