Pondok dalam kebun getah lokasi buat senjata api terbongkar

Ab Aziz (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan senapang angin dan peralatan membuat senjata api tiruan yang dirampas pada sidang media di IPD Tanah Merah, semalam.

TANAH MERAH - Kegiatan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand menjadikan sebuah pondok dalam kebun getah sebagai lokasi membuat senjata api tiruan untuk dijual terbongkar apabila diserbu polis, awal pagi semalam.

Pada serbuan jam 3.30 pagi di Batu 5 1/2, Kampung Bendang Nyiur, dekat sini, polis berjaya menahan seorang lelaki Melayu berusia 26 tahun dan merampas empat laras senapang angin buatan sendiri.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah sempena Ops Cantas Khas itu turut merampas beberapa peket guli digunakan sebagai peluru dan cecair spirit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ab Aziz Mahmud berkata, pelbagai peralatan seperti mesin pencanai dipercayai digunakan untuk membuat dan menghasilkan senapang angin turut dirampas dalam serbuan itu.

Hasil siasatan, polis dapati rumah pondok dalam kebun getah itu dijadikan tempat membuat senjata api tiruan untuk dijual dan disyaki untuk pasaran tempatan.

“Kami percaya seorang rakan kepada suspek yang ditahan iaitu seorang warga Thailand berusia 20-an dan kini menghilangkan diri adalah ‘mastermind’ dalam kes ini,” katanya pada sidang media di IPD Tanah Merah, semalam.

Ab Aziz berkata, dua suspek terbabit dipercayai mula menjadikan pondok dalam kebun getah itu sebagai tempat membuat senjata tiruan sejak lebih dua bulan lalu.

Tambahnya, suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine itu kini ditahan reman selama empat hari, bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1960.

“Hasil maklumat diperolehi daripada suspek, senapang angin laras besi dijual RM350 selaras manakala laras paip PVC dijual dengan harga RM250.

“Saya harap mana-mana individu yang membeli atau memiliki senjata api tiruan ini segera menyerahkannya kepada polis sebelum tindakan diambil,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kerana polis percaya, ada lagi beberapa individu membuat senjata api tiruan itu.

Menurut Ab Aziz, senapang angin biasa digunakan untuk memburu binatang dan menembak ikan, namun ujian menunjukkan senjata api dirampas mampu menyebabkan cedera parah, malah maut.

“Hasil ujian, senjata api tiruan ini mampu menembusi papan sasaran pada jarak 20 meter dan saya percaya, senjata ini sangat berbahaya, boleh sebabkan kecederaan parah, bahkan boleh membawa maut,” katanya.

Sinar Harian

1 comment: