ANGGOTA polis memeriksa Pajero yang terbakar.
Serian: Akibat berang berikutan pacuan empat roda yang cuba dilarikan tersangkut dalam lumpur, dua lelaki dipercayai anggota sindiket curi kenderaan nekad membakar kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri ke hutan dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Mongkos, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, polis menerima maklumat daripada penduduk kampung yang menemui sebuah Mitsubishi Pajero terbakar dengan tayar kiri depan dan belakang terbenam dalam lumpur kira-kira 200 meter dari sempadan Malaysia-Kalimantan Barat.
Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kenderaan itu dalam perjalanan diseludup ke negara jiran oleh anggota sindiket curi kenderaan di negeri ini.
Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan jalan ladang kelapa sawit untuk menyeberang sempadan negara, namun hujan menyebabkan struktur tanah lembut dan berlumpur, sekali gus menyukarkan kenderaan itu dipandu apabila terperangkap dalam lumpur.
“Suspek dipercayai cuba mengeluarkan kenderaan itu, tetapi tidak berjaya menyebabkan mereka berang lalu membakar kenderaan itu. Kenderaan itu dipercayai sudah terbakar lebih 12 jam dan siasatan awal mendapati ia dilaporkan hilang, Khamis lalu di Kampung Mentu Tapu, di sini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan suspek sama dalam kejadian Rabu lalu ketika cuba melarikan sebuah Mitsubishi Pajero ke Indonesia sebelum sempat dihalang pekerja ladang yang menutup laluan berkenaan.
Beliau berkata, suspek memilih mencuri kenderaan jenis sama sebelum diseludup ke negara jiran menerusi ladang kelapa sawit dan jika lokasi pertama gagal, mereka berpindah ke ladang berdekatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.
MyMetro
No comments:
Post a Comment