Bekas tentera sebak lihat mayat kawan dilapah

Abu Bakar (kanan) bersama bekas perajurit menceritakan pengalaman ketika berjuang menentang Komunis.

SUNGAI PETANI – “Sebak melihat mayat Sarjan Mat Perak dalam guni yang telah dilapah musuh dengan kejam pada peristiwa Konfrontasi Indonesia sebelum dihantar kepada kami," luah seorang bekas anggota tentera British, Abu Bakar Abdullah, 83, dari Kampung Titi Lahar, Guar Chempedak.

Menurutnya, dalam peristiwa sama, lapan rakannya maut setelah mereka dipinjamkan pasukan tentera Singapura dalam pertempuran di Labis, Johor semasa Konfrontasi Indonesia.

"Manakala, dua rakan lain terselamat setelah hanyut dibawa arus sungai. Sebagai seorang bekas tentera, saya mengharapkan perkhidmatan selama 14 tahun yang berjuang sejak sebelum merdeka dihargai,” katanya.

Katanya, setelah 14 tahun menyertai tentera British, dia kemudian menjadi mandur di Sekolah Menengah Guar Chempedak pada 1970 selama 15 tahun di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ada sesetengah anggota diserap terus ke JPA walaupun telah menukar haluan ke bidang lain. Namun, perkhidmatan saya hanya diiktiraf sebagai mandur, tetapi pengorbanan sebagai anggota tentera berjuang mempertahankan tanah air sejak 1954 tidak diiktiraf,” luahnya.

Abu Bakar berkata, semasa berkhidmat sebagai tentera, dia merupakan salah seorang pejuang yang pernah bertempur dengan komunis di Masai, Johor di mana dua rakan sepasukan ketika itu cedera ditembak di kepala dan perut.

“Saya pernah menghantar permohonan untuk mendapatkan pencen atau sumbangan khas yang diterima seperti bekas perajurit lain. Tapi kesal apabila permohonan ditolak serta-merta dengan alasan saya adalah bekas anggota tentera British,” katanya.

Katanya, jasa sebagai tentera di bawah tajaan British patut dikenang kerana tetap merupakan seorang anggota tentera.  Dia juga pernah menyertai perbarisan tamat darurat sebelum merdeka.

Sinar Harian

2 comments: