100 mat rempit mengamuk bersenjatakan pedang samurai, parang, kayu dan besi

 MOHAMAD Khairi menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan.

Pasir Gudang: Amukan 100 mat rempit menaiki 50 motosikal di beberapa lokasi sekitar Taman Air Biru, di sini, berlarutan 45 minit antara jam 10.15 malam hingga 11 malam kelmarin.

Selepas menyerang penduduk yang menonton bola sepak di bilik gerakan UMNO Taman Air Biru jam 10.15 malam, mereka yang bersenjatakan pedang samurai, parang, kayu dan besi mengamuk pula di sebuah restoran mamak.


Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Miswan, 40-an, berkata, dia sedang makan di dalam restoran mamak itu.

“Kumpulan itu tiba-tiba muncul dan merosakkan meja menyebabkan pelanggan lari,” katanya.


Menurutnya, penyerang terbabit meninggalkan restoran mamak dan ketika lalu di depan sebuah restoran makanan segera, mereka menyamun seorang remaja.

 SEORANG penduduk menunjukkan keadaan keretanya yang diserang.

Pengurus restoran makanan segera itu yang mahu dikenali sebagai Wati, 32, berkata, ketika itu dia berada di luar restoran dan sempat lari menyelamatkan diri dengan memasuki restoran dan mengunci pintu.

Ketika dalam perjalanan meninggalkan kawasan itu, kumpulan mat rempit menghalang seorang penunggang motosikal, Khairul Aizad Sulaiman, 25, yang menghala ke Taman Bukit Dahlia di simpang empat kawasan Taman Air Biru dan menetak tangannya pada jam 11 malam.


Menurut Khairul Aizad, mereka menghalang dan menetak tangannya menggunakan senjata tajam.

“Selepas menetak saya tanpa sebab, mereka melarikan diri,” katanya yang menerima dua jahitan di tangan.


Difahamkan, seorang daripada mat rempit yang melakukan serangan itu ditahan dan cedera dipukul penduduk selepas suspek terjatuh daripada motosikalnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya menerima 15 laporan penduduk di sekitar Pasir Gudang mengenai serangan terbabit.


Berikutan itu, katanya, polis menahan seorang suspek di sekitar Pasir Gudang beberapa jam selepas kejadian dan masih menjalankan siasatan bagi memberkas suspek lain.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Kami sedang mendapatkan maklumat dan yakin dapat memberkas semua suspek lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

MyMetro

3 comments:

  1. Pasir Gudang memang sedang hangat sekarang. Anak saudara kakak pun dua kali kena pecahkan kereta ketika parking tanpa sebab. Gila kan...

    ReplyDelete
  2. jahatnya
    rosakkan imej negara je
    harap pihak polis dapat tangkap semua mat rempit yg terlibat

    ReplyDelete