Penduduk Kampung Pisang panik hidu gas toksik

ANGGOTA bomba memeriksa alat bantuan pernafasan.
 Georgetown: Bau menusuk hidung yang dihasilkan gas toksik akibat kebakaran sebuah stor penyimpanan bahan kimia menyebabkan lebih 200 penduduk di Kampung Pisang, Ayer Itam, di sini, terpaksa mengosongkan rumah masing-masing malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, stor simpanan hidrogen sulfurik yang terletak di kampung berkenaan terbakar dan menghasilkan bau kuat menyebabkan penduduk panik.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.35 malam yang menyatakan terdapat kebakaran di kampung berkenaan.

“Selain itu, penduduk mendakwa sakit tekak, sesak nafas dan pedih mata. Pemeriksaan kami mendapati ia berlaku disebabkan gas toksik yang dihasilkan akibat kebakaran sebuah stor penyimpanan bahan kimia.

“Siasatan juga mendapati pemilik stor berkenaan menyimpan bahan kimia berkenaan di situ dan ia untuk dieksport ke Indonesia,” katanya.


Menurutnya, penduduk diarah meninggalkan rumah masing-masing buat sementara waktu bagi memastikan gas berkenaan dikawal sepenuhnya.

“Selepas Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), melakukan siasatan dan gas berkenaan dapat dikawal sepenuhnya, penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai jam 12 tengah malam,” katanya.

Menurutnya, tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba mengarahkan penduduk supaya tidak menghampiri rumah mereka berikutan bimbang ia akan menimbulkan bahaya kepada mereka.

“Gas toksik itu terhasil akibat kebakaran dan merebak dengan cepat serta ini mengundang bahaya kepada penduduk, namun keadaan terkawal.

 ANGGOTA bomba memeriksa stor yang terbakar dan menghasilkan gas toksik.

 “Setakat ini, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kami akan segera memindahkan dan menghapuskan sisa toksik yang menyebabkan penduduk tidak selesa kerana terhidu gas beracun terbabit,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih disiasat dan pihaknya sudah memastikan kawasan persekitaran tempat kejadian selamat sebelum membenarkan penduduk pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, seorang penduduk, Eric Liaw, 35, berkata, dia sakit tekak selepas terhidu gas terbabit sebelum meminta ibu bapanya keluar rumah.

“Saya memang tidak tahan dengan bau yang sangat kuat itu dan bimbang ia menjadi lebih buruk saya terpaksa bawa ibu bapa saya keluar rumah.

“Penduduk lega kerana bomba tiba cepat dan mereka dapat mengawal keadaan dengan turut meminta kami keluar dari kawasan rumah masing-masing,” katanya.

MyMetro

2 comments: