Pelatih PLKN maut dipukul kerana potong barisan

Foto: Berita Harian
KUANTAN – Polis semalam mengesahkan kematian Muhammad Suhaimi Norhamidi, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah Ahad lalu akibat dibunuh selepas mangsa terlibat dalam pergaduhan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati.

Mangsa dipercayai dipukul di kepala menggunakan objek tumpul.

Ekoran itu, polis telah menahan reman tiga pelatih PLKN kem tersebut yang berusia antara 18 dan 21 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Ketiga-tiga remaja dari Pahang dan Johor itu ditahan kelmarin.

Mereka direman selama seminggu sehingga 30 September ini selepas laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana berlaku pendarahan dalam kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd. Haris Daud berkata, siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca apabila mangsa didakwa telah memotong barisan ketika hendak mengambil sarapan pagi.

Katanya, ekoran tindakan mangsa itu, beberapa pelatih lain dipercayai tidak berpuas hati hingga tercetus pergaduhan antara mereka.

“Terdapat dua pergaduhan membabitkan mangsa dan beberapa pelatih lain iaitu pada tengah hari dan pada pukul 11.30 malam sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air asrama oleh rakannya 30 minit kemudian.

“Belakang kepala mangsa kemungkinan telah dipukul dengan objek tumpul ketika pergaduhan tersebut sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo!

2 comments:

  1. kepada yang membuat jenayah patut di bagi balasan yang setimpal

    ReplyDelete
  2. al-fatihah buat arwah.
    buat penjahat, layak sangat dipanggil penjahat. harap hukuman setimpal di berikan. baru hukuman duniawi. akhirat nanti tanggunglah sendiri. sedih tengok berita semalam mak arwah nangis

    ReplyDelete