Gambar aksi menarik Liverpool lawan Manchester United


LIVERPOOL - Liverpool seolah-olah sudah melupakan Luis Suarez.

Buktinya, The Reds berjaya melakar kemenangan ketiga berturut-turut musim ini selepas menjinakkan juara bertahan, Manchester United dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi Liga Perdana England di Anfield, malam tadi.


Daniel Sturridge muncul wira tuan rumah apabila mencetak gol tunggal perlawanan selepas tenang menyempurnakan hantaran Daniel Agger seawal minit ketiga.

Ia merupakan gol ketiga peribadi Sturridge musim ini apabila turut mencetak gol tunggal perlawanan semasa membantu The Reds mengecewakan Stoke City dan Aston Villa dalam dua aksi terdahulu, juga dengan kemenangan tipis 1-0.


Tidak mustahil, Sturridge kini lebih disayangi peminat fanatik The Reds berbanding Suarez.

Masa depan Suarez di Anfield kini masih samar menjelang tarikh akhir jendela perpindahan pemain yang akan ditutup hari ini.


Dia yang menjalani hukuman penggantungan 10 perlawanan selepas didapati bersalah menggigit pemain pertahanan Chelsea, Barislav Ivanovic musim lalu dikatakan mahu menyertai Real Madrid ataupun Arsenal kerana mahu beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara.

Malam tadi, tuan rumah berpeluang menggandakan kelebihan namun percubaan kapten, Steven Gerrard tepat ke dakapan penjaga gol United, David De Gea pada minit ke-26.


 United berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan Robin van Persie selepas hanya berdepan dengan penjaga gol lawan tersasar pada minit ke-86.

Liverpool juga mampu menang selesa jika tidak kerana percubaan Raheem Sterling berjaya ditepis keluar De Gea pada masa kecederaan.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Brendan Rodgers kini mengungguli carta liga dengan sembilan mata maksimum, dua mata di depan pencabar terdekat, Chelsea.






Kosmo!/Daily Mail

4 comments:

  1. muka 1 lelaki belakang gawang gol (pic kedua) tak boleh blah. macam bola nak terjah kat dia haha

    ReplyDelete
  2. hadiah birthday utk sturridge...ada apa dgn suarez? ekekekekke

    ReplyDelete