Bayi ini derita sakit misteri, hanya tinggal kulit dan tulang

Marlina mendodoikan anak bongsunya yang menderita akibat penyakit misteri.

RANTAU PANJANG – Seorang bayi sembilan bulan, di Kampung Tersang menderita penyakit misteri, tiga bulan selepas dilahirkan.

Ibunya, Marlina Ab Rahman, 33, berkata, anak bongsunya, Lia Nur Zahirah Osman dilahirkan normal, 1 Januari lalu namun berubah selepas menghidap batuk, muntah dan cirit-birit.

Ketika mendapat pemeriksaan lanjut di Hospital Pasir Mas, Marlina berkata, doktor mengesahkan darah anaknya dijangkiti kuman seterusnya merebak ke bahagian paru-paru.

“Selepas itu, susuk tubuh Lia semakin mengecil malah berat badannya menurun daripada 2.8 kilogram (kg) kepada 2.5 kg.

“Kini tubuhnya semakin cengkung malah hanya tinggal kulit dan tulang,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini anak sulung dan anak ketiganya juga maut akibat penyakit yang sama.

Disebabkan sibuk menguruskan anak bongsu, Marlina tidak mempunyai masa untuk ke pejabat Jabatan Kebajikan dekat Pasir Mas.

Lebih merisaukan katanya, anak keduanya, Mohd Khairul Ikhwan Osman, 11, merupakan pesakit autisme sejak lahir.

Menurutnya, jika dihubungi oleh guru, suaminya, Osman Kamar, 35, terpaksa ke sekolah untuk membersihkan kotoran setiap kali buang air besar.

Dalam masa sehari katanya, Khairul menggunakan tiga lampin pakai buang termasuklah ketika berada di sekolah.

Disebabkan perkara itu, suaminya diberhentikan kerja kerana sering meminta cuti daripada majikan.

“Ia menyebabkan pendapatan keluarga semakin berkurangan, maka saya memohon agar bantuan dipanjangkan, demi keperluan kami sekeluarga.

“Buat masa ini, keperluan kami dibantu oleh orang tua malah terpaksa menumpang di rumah bersama 10 lagi adik-beradik yang lain,” katanya.

Sinar Harian


3 comments: