Anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat mangsa.
TELUK BAHANG - Walaupun lebih 48 jam dihanyutkan air namun mayat mangsa lemas, Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim ditemui dalam keadaan sempurna dan seolah-olah baru sahaja meninggal dunia.
Mayat Ku Muhammad Ilyas, 19, ditemui dalam keadaan terlangkup oleh pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 4 petang semalam, dua batu nautika ke arah timur berhampiran Pantai Muka Head dari lokasi dia dikatakan lemas.
Selain masih lagi berpakaian, mayat anak ketiga daripada tujuh beradik itu ditemui dalam keadaan baik dan tidak kembung.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Ku Muhammad Ilyas hilang selepas dipercayai lemas bersama empat lagi rakannya ketika sedang mandi di Pantai Kerachut.
Namun dua rakannya berjaya diselamatkan orang awam yang berada di pantai berkenaan dan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala dua lagi rakannya ditemui maut masing-masing pada Sabtu lalu dan kelmarin.
Bapa mangsa, Ku Abdul Halim Ku Taha, 53, yang setia menunggu di bilik operasi bersyukur dengan penemuan mayat anaknya.
Menurutnya, dia reda dengan semua ketentuan ALLAH dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mencari mayat anaknya selain semua pihak yang sentiasa berdoa dan
melakukan solat hajat sehingga mayat anaknya dipertemukan semula.
“Dengan berkat doa dan usaha semua pihak, akhirnya ALLAH dah temukan kembali anak saya.
“Selepas semua urusan selesai, jenazah dikebumikan di kampung kami di Kubang Ulu, Penanti, Bukit Mertajam,” katanya.
Ditanya mengenai amalan anaknya selama ini, Ku Abdul Halim yang merupakan guru agama berkata, anaknya itu sering membaca ayat-ayat al-Quran selain menghafaz surah-surah panjang.
“Arwah selalu membaca al-Quran dan dia juga menghafaz dan sering membaca surah Yasin, Sejadah dan Duha.
“Selain itu dia sering melakukan solat tahajud. Sebagai bapa saya berharap dia diberi rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Inspektor Mohd Zin Mat Ali berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan dan operasi Taman Negara yang dihentikan sejak kelmarin akan dibuka seperti biasa selepas ini.
Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari itu melibatkan seramai 78 anggota penyelamat dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
“Sebanyak sembilan bot dan dua helikopter digunakan dalam operasi ini.
“Malah operasi Taman Negara yang dihentikan sejak operasi mencari ini bermula juga kembali dibuka seperti biasa selepas ini,” katanya.
Sumber; Sinar Harian
alhamdulillah..jumpa jugak..
ReplyDelete