Fanatik Iron Maiden


RASMUS Stavnsborg, 41, dari Karlslunde, Denmark menikmati segala yang diimpikan oleh seorang peminat fanatik kumpulan muzik terkenal, Iron Maiden.

Antaranya, mendapat kad hari lahir daripada vokalis kumpulan ‘heavy metal’ tersebut, Bruce Dickinson, menikmati piza bersama pemain bass, Steve Harris ketika di belakang pentas, terbang bersama ahli kumpulan tersebut ke Paris dan berparti bersama, menghadiri lebih 100 persembahan mereka di serata dunia, ternyata Stavnsborg membuatkan ramai peminat yang lain cemburu dengannya.

Apatah lagi Stavnsborg memiliki 4,168 koleksi barangan berkaitan dengan Iron Maiden!


 Koleksinya yang disimpan di dalam bilik bawah tanah rumahnya yang digelar Iron Maiden Bar itu turut mencatatkan rekod koleksi barangan Iron Maiden terbesar di dunia oleh Guinness World Records.

Menurut Stavnsborg, dia mula jatuh cinta dengan kumpulan yang dianggotai oleh enam orang pemuzik hebat itu sejak berusia 8 tahun iaitu pada tahun 1981, ketika kumpulan tersebut baru sahaja menghasilkan dua buah album.

Lirik, melodi, gaya persembahan dan semestinya maskot mereka, Eddie, membuatkan Stavnsborg begitu fanatik dengan kumpulan tersebut.

Hakikatnya, dia mula mengumpul barangan Iron Maiden sejak berusia 10 tahun.


Selain memiliki 37 buah album, Stavnsborg turut memiliki pelbagai barangan Iron Maiden seperti patung maskot Iron Maiden, Eddie dalam pelbagai saiz dan bentuk, baju, gambar, sepanduk, alat muzik, malah penutup tandas berimejkan Eddie!

Hobinya itu turut dikongsi teman wanitanya yang juga meminati kumpulan Iron Maiden. Malah penghantaran kad hari jadi oleh Dickinson kepada Stavnsborg diatur oleh teman wanitanya.

Sudah beratus-ratus konsert Iron Maiden ditontonnya di serata dunia termasuk di Jepun, India, Rusia, Peru dan Dubai.

Dedikasinya terhadap kumpulan tersebut membuatkan dia amat popular serta dihormati oleh ahli kumpulan itu.

Menurut Stavnsborg, antara kenangan terindah dalam hidupnya ialah ketika dia memenangi satu pertandingan untuk peminat Iron Maiden yang menerbangkan dia ke Paris bersama Dickinson dan lain-lain, menginap di hotel yang sama selain berparti dengan mereka selepas konsert di sana.

Utusan Malaysia

1 comment: