JDT diramal sapu bersih 3 piala

 
Kuala Lumpur: Pasukan dibarisi ramai pemain bintang Johor Darul Ta’zim (DT) menjadi pilihan utama untuk menjulang kejuaraan Liga Super musim ini namun ia sekadar ramalan awal berdasarkan kekuatan di atas kertas kerana di padang, pasti berbeza.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh beliau menganggap JDT yang tampil lebih hebat berbanding musim lalu dengan kehadiran jurulatih baru dari Sepanyol, Cesar Ferrando Jimenez dan pemain import terkenal dari Argentina, Pablo Aimar bukan saja mampu mendominasi saingan liga malah memiliki prospek untuk menyapu bersih Piala FA dan Piala Malaysia.

“Pada saya, Johor DT secara keseluruhannya memiliki skuad mantap berbanding tahun lalu kerana mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain bagus di setiap posisi. Persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan utama ini bakal membawa mereka ke tahap lebih baik.

“Kelebihan ramai pemain pilihan dalam pasukan ini akan menjadi jurang antara mereka dengan pasukan lain terutama apabila berdepan jadual padat ataupun jika belaku masalah kecederaan pemain,” katanya semalam.


Bagaimanapun pengkritik bola sepak terkenal itu yang turut dikenali sebagai Shebbie berkata, laluan JDT untuk menebus kekecewaan tahun lalu bukan mudah kerana 11 lagi pasukan bersedia untuk mencabar kejuaraan apabila tirai saingan liga disingkap semalam.


Katanya, beberapa pasukan lain yang berpotensi untuk merebut gelaran yang dimenangi kelab dari Singapura, LionsXII tahun lalu membabitkan Pahang, PKNS FC dan Selangor selain menjangkakan jaguh Pantai Timur, Kelantan masih lagi dalam proses transformasi.

“Graf Pahang sedang meningkat dan mereka memantapkan jentera serangan musim ini dengan membawa masuk Dickson (Nwakaeme) kerana pada musim lalu mereka mempunyai sedikit kelemahan di bahagian itu.

“PKNS pula dibimbing jurulatih berpengalaman Wan Jamak (Wan Hassan) serta memiliki dua penyerang import berkualiti, Karlo Primorac dan Patrick Wleh yang sebelum ini sudah terbukti bagus.

“Selangor antara pasukan yang perlu diberi perhatian, memang mereka tidak mempunyai kekuatan istimewa di mana-mana bahagian tapi kekuatan mereka adalah bermain sebagai satu pasukan.

“Kenapa saya tidak memilih Kelantan kali ini? Bagi saya, pasukan ini masih dalam tempoh transisi selepas ramai pemain utama mereka keluar termasuk jurulatih. Saya tahu corak latihan dan pendekatan Steve Darby dengan jurulatih dulu Bojan Hodak berbeza,” kata Serbegeth.

Ketika ditanya mengenai pendatang baru liga, Sarawak dan Sime Darby, beliau berkata: “Sarawak boleh mencabar kelompok lima pasukan teratas namun Sime Darby saya rasa sukar buat mereka dalam musim pertama ini.”

Sumber; Harian Metro

No comments:

Post a Comment