Perompak berpistol gelabah lari lintang-pukang dikejar dengan penyapu

 
Kuantan: Cubaan dua penjenayah bersenjatakan pistol merompak sepasang suami isteri warga emas gagal, sebaliknya mereka bertempiaran melarikan diri selepas terkejut dengan jeritan kuat mangsa yang mengejar penjenayah itu menggunakan penyapu dalam kejadian di sebuah flet di Lorong Sri Kuantan 65, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, gelabah kerana tidak menyangka mangsa berusia 68 dan 56 tahun itu akan bertindak demikian, dua lelaki berusia 20-an lari lintang pukang sehingga meninggalkan kereta PERODUA Kancil mereka di depan rumah pasangan berkenaan.


Difahamkan, dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa yang juga seorang pesara baru pulang selepas keluar minum bersama rakannya di kedai berhampiran.

Mangsa dikenali sebagai Lim berkata, ketika hendak membuka pintu rumah, dua lelaki datang bertanya jalan di kawasan berkenaan dengan seorang daripada mereka memakai baju Hawaii berseluar panjang manakala seorang lagi berbaju-T dan berseluar panjang.


“Tiba-tiba seorang daripada mereka menolak saya masuk ke dalam rumah dan mengeluarkan sepucuk pistol yang diacu ke dahi saya.


“Terkejut dengan tindakan itu, saya menjerit sekuat hati sambil berlawan untuk merebut pistol berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama isterinya yang berada di ruang tamu rumah turut menjerit sekuat hati menyebabkan suspek panik dan cuba melarikan diri.


“Melihatkan mereka mahu melarikan diri, kami berdua mengejar penjenayah bersenjata itu dan saya sempat mencapai sebatang penyapu,” katanya.

Lim berkata, ketika kejadian, seorang menantu berusia 34 tahun dan dua cucunya masing-masing berusia tujuh dan setahun, berada di dalam bilik di rumah mereka yang terletak di tingkat bawah itu.


“Kami tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian ini dan saya tidak tahu apa motif sebenar lelaki terbabit, namun percaya mereka hendak merompak,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan jam 7 malam kelmarin. Menantu mangsa dikenali sebagai Khor berkata, dia menjenguk dari bilik selepas mendengar jeritan ibu dan bapa mentuanya itu. “Saya melihat ibu dan bapa mentua sedang mengejar dua lelaki dengan penyapu sambil menjerit ke arah mereka sebelum menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisoner Mohd Jasmani Yusof berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat mengenai kejadian itu dan mendapati sebuah PERODUA Kancil dipercayai milik suspek ditinggalkan di depan rumah mangsa.


Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan menemui dua peluru penabur.


“Suspek tidak sempat mengambil apa-apa barangan daripada rumah mangsa, sebaliknya melarikan diri selepas panik dengan tindakan pasangan warga emas itu.


“Polis tidak menolak kemungkinan senjata digunakan suspek terbabit pistol palsu,” katanya, semalam.


Bagaimanapun menurutnya, siasatan lanjut kes itu masih dilakukan dan polis giat mengesan suspek terbabit serta meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian berkenaan tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

2 comments: