Remaja perempuan Amerika Syarikat popular di YouTube

 Kemasyhuran dikecapi Bethany Mota (kiri) membolehkan butik remaja, Aeropostale menawarkan koleksi pakaian serta aksesori menggunakan namanya. - Agensi

NEW YORK - Hobi seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Amerika Syarikat (AS) yang memuat naik video dia membeli belah di laman perkongsian YouTube, membuatkannya menjadi terkenal di laman tersebut sehingga dia kini mempunyai kira-kira lima juta pengikut.

Malah, hobi Bethany Mota dari California Utara yang bermula sejak berusia 14 tahun itu membuatkannya kini mencapai populariti jauh lebih meluas berbanding majalah fesyen, Vogue.


 Hobi itu turut membuatkan Mota memperolehi hasil lumayan sehingga dia dan keluarganya kini berpindah ke sebuah rumah baharu yang lebih selesa.

"Hai, saya Bethany. Saya seorang penggemar YouTube,'' katanya pada satu daripada akaun media sosial yang dimilikinya.

Remaja itu turut berkongsi gambarnya di Instagram, antaranya aksi dirinya serta imej baju dan bilik tidurnya yang tidak boleh didapati di YouTube.

Dia mempunyai lebih dua juta pengikut di Instagram, lebih banyak berbanding penggemar majalah Vogue, Elle, Marie Claire, Glamour, dan Cosmo.


Kemasyhuran Mota juga membuatkan butik remaja, Aeropostale menjual pakaian yang menggunakan nama remaja itu dengan jenama, 'Motavator' termasuk barangan kemas yang turut menggunakan namanya.

Menurut Business Insider, Mota mula mengorak langkah dalam dominasi fesyen remaja selepas dia tampil menentang kegiatan buli di sekolah.

"Saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa, malah tidak mahu meninggalkan rumah,'' katanya, sambil menambah, dia mula memilih YouTube sebagai satu 'medium untuk dirinya menjadi diri sendiri'. - AGENSI

1 comment: