'Bi nak naik atas langit' kata terakhir kanak-kanak 6 tahun kepada ibunya

Abang mangsa, Muhammad Danish Hakimi, 9, menunjukkan selipar milik arwah yang ditemui di lokasi kejadian.

 KUALA TERENGGANU - “Bi tak boh balik kampung...Bi nak gi jalan jauh, naik atas sana (langit), jadi mak jangan cari deh,” demikian antara pesanan terakhir Muhammad Alif Amirul Muhamad Hamdan, 6 tahun, kepada ibunya, Zarifah Md Zaid, 27, beberapa jam sebelum ditemui lemas di alur sungai Kampung Paloh Haji Daud, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, anak kedua daripada tiga beradik itu yang mesra dipanggil Bi, dipercayai tergelincir ketika bermain bersama dua lagi rakan sebayanya, sebelum mayatnya ditemui kira-kira setengah jam kemudian oleh salah seorang penduduk kampung yang turut membantu mencari mangsa selepas dimaklumkan kejadian.

Zarifah yang masih bersedih dengan kehilangan anaknya itu berkata, dia tidak menyangka kata-kata arwah yang enggan mengikut mereka sekeluarga pulang ke kampung bapanya, Muhamad Hamdan Ahmad, 31, di Kota Bharu, Kelantan, apabila cuti Tahun Baharu Cina nanti merupakan salah satu petanda yang dia akan pergi untuk selama-lamanya.

“Ketika di atas motosikal, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil arwah dan abangnya, Muhammad Danish Hakimi, 9 tahun, dari sekolah, saya ada memberitahu mereka berdua yang kami akan pulang ke kampung pada cuti Tahun Baru Cina nanti.

“Tapi, arwah dengan selamba memberitahu yang dia tidak mahu ikut kami balik. Dalam nada bergurau abangnya bertanyakan kenapa dia tak mahu ikut, dia nak pergi mana, nak lari dari rumah ke?

“Arwah jawab dia nak pergi jauh, naik atas langit, dan dia turut pesan saya jangan cari dia. Tapi ketika itu saya langsung tidak terfikirkan apa-apa yang pelik,” katanya sambil menyeka air mata.

Cerita Zarifah lagi, selain kata-kata terakhir yang masih terngiang-ngiang itu, arwah turut berperangai pelik kerana sejak kebelakangan ini arwah kurang makan, tidak seperti kebiasaannya.

“Setiap kali diajak makan, arwah tidak mahu dan hanya minum air masak. Bila ditanya kenapa tak nak makan, dia kata sudah kenyang dengan makan coklat.

“Saya ingatkan mungkin faktor kesihatannya yang kurang baik sejak akhir-akhir ini menyebabkan seleranya pun kurang, jadi, memang saya tidak pernah terfikirkan sebarang perkara buruk bakal akan berlaku,” ujarnya sayu.


Minta 10 sen daripada nenek

Selain itu, suri rumah itu turut berkongsi cerita yang arwah juga ada menunjukkan sikap pelik apabila hanya meminta wang 10 sen daripada neneknya, Fatimah Abdullah, 65, yang tinggal bersama mereka untuk membeli coklat dan makanan ringan di kedai berhampiran.

“Sedangkan sebelum ini, arwah selalu meminta RM1 daripada neneknya, tetapi sejak kebelakangan ini, arwah memang tidak mahu duit sebanyak tu, dia cuma nak 10 sen sahaja.

“Neneknya sendiri tidak sampai hati hendak memberikan wang sebanyak tu, tapi arwah tetap berdegil nak 10 sen sahaja. Dia cakap dia tak nak duit banyak-banyak dah,” katanya.

Menceritakan mengenai kejadian menimpa arwah, Zarifah memberitahu dia hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan dua rakan yang bermain bersama Muhammad Alif Amirul.

“Mereka beritahu arwah lemas di alur sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah dan sejurus dimaklumkan, saya dan suami bergegas ke lokasi dimaksudkan, namun kelibatnya sudah tidak ada.

“Ketika itu juga, ada beberapa penduduk kampung yang sedang berusaha mencari arwah. Bagaimanapun, usaha mencarinya agak sukar kerana air pasang. Kira-kira setengah jam kemudian, seorang daripada penduduk yang membantu berjaya menemui mayat arwah selepas kakinya tersangkut pada bahagian ketiak arwah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Zulkhairul Mohd Razilah berkata, mayat mangsa ditemui orang awam sebelum ketibaan pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian jam 6.24 petang.

“Sebaik menerima panggilan, tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Bagaimanapun, penduduk berjaya menemui mayat mangsa sebelum ketibaan bomba.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Intan yang berhampiran dan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sumber: Sinar Harian

1 comment: