Ajal diulit minah urut


Miri: Seorang tukang urut wanita terkejut apabila mendapati pelanggan lelaki yang diurutnya meninggal dunia dalam kejadian di sebuah pusat refleksologi di Jalan Merpati, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, Yap Kien Bun, 41, dari Taman Desa Jaya, Tanjung Rambutan, Perak disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Miri yang tiba di premis terbabit pada jam 12.30 tengah malam sebaik dimaklumkan pemiliknya.


Difahamkan, lelaki itu berseorangan ke premis itu untuk mendapatkan khidmat urut dan dipercayai tidak sedarkan diri kira-kira setengah jam ketika berada di dalam bilik.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, tukang urut wanita pelik apabila mendapati lelaki itu tidak memberikan tindak balas ketika diurut menyebabkannya curiga.


“Wanita tukang urut itu cuba memanggil dan menggoncang badan mangsa, namun tiada tindak balas menyebabkan dia bergegas memaklumkan perkara itu kepada majikannya.


“Curiga sesuatu tidak kena, majikan terbabit menghubungi talian kecemasan sebelum pemeriksaan pasukan paramedik mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah terhadap mangsa.


“Mayat lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Miri, di sini, untuk dibedah siasat manakala keterangan tukang urut serta majikannya diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: myMetro

2 comments: