Mahadi menunjukkan ketulan batu kristal yang diperoleh ketika ditegur lembaga berkenaan.
ALOR SETAR - Pencari batu kristal mampu menjana pendapatan lumayan sehingga ribuan ringgit apabila ada pihak sanggup membelanjakan wang mendapatkan batu bunga itu.
Namun, Mahadi Mat Akhir, 48, berkata, dia sendiri melalui pelbagai detik suka duka sepanjang 21 tahun mewarisi pekerjaan turun temurun keluarga di Gunung Keriang, dekat sini.
“Keadaan dalam gua curam dan licin sememangnya memberi cabaran kepada pencari batu kristal seperti kami. Malah, adakalanya pencari batu kristal menerima gangguan mistik.
“Terbaru, saya mengalami sakit lutut selepas beberapa hari ditegur ‘sesuatu’ dalam gua sewaktu mencari batu kristal. Saya terdengar ada suara, namun tiada orang kelihatan,” katanya.
Menurutnya, dia pada mulanya menyangka ia suara pertapa, namun menyedari dirinya ditegur selepas dimaklumkan seorang tukang urut yang merawat lutut kanannya.
Mahadi berkata, gangguan dipercayai berlaku apabila ada pihak tertentu mengambil golok dan kapak yang digunakan untuk perubatan tradisional dalam gua berkenaan.
Menurutnya, keadaan lutut kanannya bertambah baik hanya setelah dia meletakkan seikat pisang emas di kawasan dia mencari batu kristal berkenaan.
Dia yang juga pemandu pelancong ekspedisi meneroka gua berkata, antara gangguan lain dialami dirinya sendiri mahupun pengunjung termasuklah rasukan, sesat dan sakit misteri.
“Jadi, sekiranya terlihat, terbau ataupun merasa bulu roma meremang secara tiba-tiba, diingatkan supaya tidak menegur. Sebaliknya, maklumkan kepada pemandu pelancong,” katanya.
Katanya, dia sendiri mematuhi pantang larang, antaranya membaca beberapa ayat suci al-Quran ketika ingin mencari batu kristal dalam gunung berkenaan.
Katanya, gunung sering menjadi tumpuan pengunjung yang berminat melihat kaedah mencari batu kristal dan meneroka keindahan gua seperti Gua Tirai, Gua Buaya serta Gua Kubur Panjang.
Mahadi berkata, dia menasihatkan pengunjung supaya tidak bermulut lancang ataupun berkelakuan kurang senonoh sewaktu meneroka gua di gunung berkenaan.
Menurutnya, pengunjung perlulah mendapatkan nasihat pemandu pelancong untuk meneroka gua.
Menurutnya, harga ditawarkan untuk meneroka gua sambil melihat sendiri proses mencari batu kristal hanya lebih kurang RM300 bergantung kepada jenis ekspedisi dan bilangan peserta.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment