Suami isteri terkejut lihat pencuri leka memasak ketika pulang ke rumah

 
KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri terkejut apabila kepulangan mereka dari bercuti disambut ‘tetamu’ tidak diundang yang ketika itu sedang leka memasak di dapur, dalam satu kejadian di Kampung Enjin Gergaji, Kemaman, Sabtu lalu.

Curiga dengan kehadiran ‘tetamu’ itu, pasangan berkenaan terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati beberapa barang berharga di dalam rumah telah hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pasangan tersebut telah meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan berkunci dengan baik sejak Khamis lalu.

“Bagaimanapun, apabila pulang semula pada hari kejadian, sejurus membuka pintu rumah utama, mereka terkejut selepas mendapati kelibat seorang lelaki dikenali sedang memasak di dapur.

“Terkejut dengan kehadiran suspek, 29, yang bermaharajalela di dalam rumah, pasangan itu terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati beberapa barang berharga telah hilang, termasuk duit tabung yang disimpan di dalam bilik,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, mungkin terlalu leka memasak, suspek tidak menyedari kepulangan pasangan itu sehinggalah dia disergah oleh salah seorang daripada mereka bertujuan untuk bertanyakan perihal kehilangan barang berharga tersebut.

“Namun, suspek cuba melarikan diri tetapi sempat ditahan sebelum pemeriksaan beg yang ada di tangannya, berjaya menjumpai beberapa barang berharga lain termasuklah sebuah kamera; dua helai baju; duit syiling berjumlah RM50; sepasang kasut dan sebilah pisau,” katanya.

Jelasnya lagi, yakin kesemua barang berharga milik mereka, pasangan itu terus menghubungi polis bagi menyerahkan suspek.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menjumpai tanda-tanda rumah itu dipecah masuk dan berkemungkinan suspek memiliki kunci pendua, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui bagaimana cara suspek memecah masuk rumah tersebut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.


Sumber: Sinar Harian

3 comments:

  1. Ya Allah macam ini pun ada.
    Rasa kakak dia dah selalu masuk rumah ni bila tuannya tak ada
    Tapi kali ini dah tersangkut padan muka..

    ReplyDelete
  2. adoii..sempat memasak lagi ya..lapar sangat la kut..

    ReplyDelete