Kisah pocong satu helah takutkan penduduk kampung

Laluan yang selalu digunakan penduduk kampung untuk ke masjid.

KAMPUNG GAJAH - Kisah penemuan pocong di Kampung Balun Bidai di sini dianggap sekadar cerita pocong jadian yang menjadi helah sesetengah pihak untuk menakut-nakutkan penduduk kampung berkenaan.

Rata-rata penduduk yang ditemui menganggap, insiden itu sebagai perkara biasa dan sengaja dibesar-besarkan.

Siak masjid, Baharudin Amat, 48, berkata, sebagai anak jati Kampung Balun Bidai, dia kurang yakin dengan kewujudan makhluk tersebut.

Menurutnya, dia tidak menafikan mengenai perkara ghaib namun dalam isu itu tiada jawapan tepat boleh diberikan.

“Sepanjang saya tinggal di kampung ini tidak pernah terserempak dengan apa-apa hantu walaupun pulang lewat malam,” katanya.

Baharudin berkata, jemaah lain juga tidak pernah menceritakan kejadian pelik pernah mereka alami sejak masjid baharu itu digunakan.

Katanya, sebelum ini, dia ada mendengar cerita itu daripada penduduk yang kononnya terserempak bayang atau kelibat tertentu di kawasan masjid berkenaan namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Saya khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengambil gambar jemaah wanita memakai telekung ketika pulang dari masjid pada waktu malam dan cuba menyebarkannya sebagai pocong.

“Pelbagai andaian boleh dibuat kerana kami tidak tahu kejadian sebenar,” katanya.

Baharudin berkata, kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah juga agak tinggi.

Katanya, mungkin  mereka sengaja menakut-nakutkan penduduk dan kemudian mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah.

“Ini yang lebih saya percaya daripada mempercayai terdapat jelmaan hantu pocong di sini,” katanya.



Bagi penduduk, Rosfauzi Wahid, 31, pula, dia bersama pemuda kampung lain juga tidak mengalami kejadian pelik sepanjang berada di kampung itu.

Menurutnya, dia bersama rakan sering bersantai dari waktu malam sehingga lewat pagi tetapi tidak pernah terserempak atau menjumpai sesuatu yang pelik.

“Saya sendiri kurang percaya dengan perkara ini kerana penduduk  juga tidak dapat mengesahkannya malahan kami mengadakan aktiviti pada waktu malam seperti biasa tanpa perasaan takut.

“Perkara itu menjadi kecoh apabila dimasukkan ke dalam laman sosial dan ada pihak menambah cerita sehingga isu itu menjadi besar,” katanya.

Kes tabung masjid kena pecah  mungkin kebetulan

Sinar Harian turut mendapatkan komen mengenai kejadian itu dan kejadian pecah tabung daripada pengrusi masjid kampung berkenaan.

Pengerusi Masjid Kampung Balun Bidai, Amat Hamzah berkata, kejadian pecah tabung masjid baru-baru ini kemungkinan berlaku secara kebetulan ketika isu hantu pocong hangat diperkatakan.

Menurutnya, beliau sendiri tidak dapat mengesahkan kebenaran kejadian itu.

“Apa yang pasti sepanjang saya menjadi pengerusi masjid sejak 1990 tidak pernah saya terserempak atau terjumpa hantu,” katanya.

Beliau berkata, kejadian pecah tabung masjid juga tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana tidak melibatkan kerugian yang besar.

Jelasnya, wang derma dalam tabung berkenaan sudah diambil untuk disimpan di tempat lebih selamat.

“Mungkin disebabkan tabung itu berkunci, pihak tidak bertanggungjawab menyangka terdapat wang di dalam tabung.

“Namun, langkah berjaga-jaga tetap diambil dalam perkara ini kerana kita tidak mahu kejadian yang sama berulang lagi,” katanya.

Amat berkata, beliau turut berpesan kepada masyarakat supaya tidak membesarkan isu remeh itu kerana tidak mahu masalah lain pula timbul.

Rela sering buat rondaan

Manakala, Ketua Pergerakan Rela Mukim Kampung Gajah, Zulkifli Amin Taha berkata, pasukan Rela sentiasa membuat rondaan di kampung itu pada setiap minggu.

Menurutnya, sebelum ini, Rela mengadakan rondaan secara berkala pada setiap minggu bermula jam 12 tengah malam sehingga waktu subuh.

“Rondaan dibuat bukan kerana isu pocong tetapi aktiviti itu memang sering dilakukan bagi menjaga kawasan kampung,” katanya yang juga penduduk kampung berkenaan.

Zulkifli berpendapat, perkara itu sengaja dijadikan isu untuk menakutkan penduduk bagi melakukan kegiatan jenayah.

“Kita tidak tahu apa muslihat pihak berkenaan. Mungkin isu ini sengaja dibuat untuk mengalih perhatian penduduk dan apabila tiba masanya mereka akan mengambil kesempatan.

“Sebagai contoh, di kawasan Kampung Gajah, apabila tiba musim durian akan timbul pelbagai cerita hantu di kebun bagi menakutkan pemilik untuk memungut durian yang gugur sedangkan  ada pihak yang mahu mencuri hasil buah berkenaan,” katanya.

Keselamatan jadi keutamaan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan mengenai kejadian pecah tabung masjid.

Menurutnya, walaupun tiada aduan dibuat, namun pihak polis tidak memandang remeh perkara itu.

“Perkara berkaitan keselamatan dan kesejahteraan penduduk menjadi keutamaan kami sebagai anggota penguat kuasa.

“Masyarakat tidak harus cepat percaya atau menyebarkan isu yang tidak jelas kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam sesebuah komuniti,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment