‘Syaitan’ bunuh, makan, bakar mayat mangsa

PINTU depan rumah Algarad
 
Clemmons (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang menggunakan nama sempena nama syaitan dalam filem 'The Exorcist' adalah antara tiga orang yang ditangkap di Carolina Utara atas tuduhan membunuh.

Mereka ditangkap selepas polis menemui rangka dua mangsa mereka dalam kubur cetek di belakang sebuah rumah di Clemmons, tempat jiran berkata Pazuzu Illah Algarad, 35, sering mengadakan upacara penyembahan syaitan.

Seorang jiran mendakwa dia memberitahu semua orang mengenai mayat itu tetapi tidak seorang pun mempercayainya.

Algarad juga menceritakan bagaimana dia membunuh mangsa, makan sebahagian mayatnya dan membakar bakinya dalam unggun api.

Amber Nicole Burch, 24, yang tinggal bersama-sama Algarad dan dikatakan isterinya dalam Facebook, juga menghadapi tuduhan membunuh sementara Krystal Nicole Matlock, 28, ditahan kerana membantu menanam mayat itu.

Mangsa pertama dikenali sebagai Joshua Fredrick Wetzler, 37, sementara kedua, Tommy Dean Welch, 36.

Menurut laporan, Algarad dilahirkan di San Francisco sebagai John Alexander Johnson, tetapi ibunya, Cynthia Lawson, juga pemuja syaitan menukar namanya kepada Pazuzu Algarad atas alasan agama.

'Pazuzu' adalah nama syaitan yang merasuk budak perempuan dalam filem 'The Exorcist' dan mendakwa berketurunan Iraq.

Pada pintu depan rumah Algaerad yang dimiliki ibunya, terdapat papan tanda memberi amaran supaya polis tidak memasukinya serta lambang tengkorak.

Di bawahnya tertera perkataan bermakna 'Kejahatan akan menang.'

Ketika dihadapkan ke mahkamah semalam, Hakim Daerah Forsyth Gordon Miller memberitahu tertuduh bahawa mereka akan dihukum penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Ketiga-tiganya akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 23 Oktober depan. - Agensi


Sumber: myMetro

1 comment: