Senarai peserta Maharaja Lawak Mega 2014

 Barisan peserta yang akan terlibat dengan MLM 2014


Peserta Indonesia Tidak Dipilih Sertai 'Maharaja Lawak Mega 2014'

KUALA LUMPUR: Program Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) pada kali ini tidak akan menampilkan peserta dari Indonesia seperti kebiasaan kerana tiada individu yang layak untuk menyertainya.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, berkata, pihaknya bukan tidak mahu membabitkan peserta negara itu tetapi selepas melakukan uji bakat sejak Mei lalu, tiada yang sesuai bagi menyertai program tersebut.

"Mereka (di Indonesia) mempunyai pelbagai bakat komedi. Tetapi pihak kami perlu mencari peserta yang boleh serasi dengan jiwa penonton di negara ini, seperti kumpulan Seywho.

"Dan sepanjang uji bakat berlangsung, pihak kami mendapati peserta yang datang kurang sesuai. Bagaimanapun MLM 2014 ada menampilkan seorang peserta Singapura iaitu Suhaimi Yusof," katanya.

Nizam ditemui pada majlis pengumuman peserta MLM 2014 di Hotel Le Meridian di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengurus Saluran Astro Warna, Rostam Said dan pengacara MLM 2014 iaitu Datuk AC Mizal.

Barisan pelawak yang akan beraksi di gelanggang MLM 2014 iaitu Shiro, Bocey, Nabil dan SYJ manakala Sepahtu menambah seorang lagi anggota iaitu Ilya (Senario).

Pelawak lain yang turut terlibat menggunakan nama kumpulan baharu ialah Virus iaitu Tauke, Yus dan Zizan Razak,  Comey (Suhaimi Yusof dan Rophie), Jalor (Along Cham, Rahim dan Joey), Sayot (Zam, Filzah dan One) serta Kepoh (Izu, Pian dan Kamal).

"Kehadiran peserta-peserta lama serta ada yang bergelar juara bakal menyaksikan adakah mereka mampu bertahan dengan populariti masing-masing. Ini kerana peserta-peserta baharu juga tidak kurang hebatnya dan MLM 2014 pada masa sama juga akan memperlihatkan prestasi lawak masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu sebanyak 16 peserta iaitu  Ekzis, Mamu, Sakan, Samurai, Cak, Spark, Qtaro, Token, Chilok, Badboy, Zero, Glory, Shake, Gap2, Jbond dan Wala  akan melalui satu ujian di Kerusi Panas MLM bagi menentukan siapakah empat peserta layak yang akan bertanding ke program tersebut.

Pemilihan peserta itu akan disiarkan pada 31 Oktober dan 7 November ini pada pukul 10 malam di saluran Astro Warna.

MLM 2014 masih menggunakan khidmat empat juri tetap iaitu dua dari Malaysia manakala selebihnya dari Indonesia dan Singapura.

Sistem penghakiman juga masih dikekalkan dengan format 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

Juara MLM 2014 bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500,000.

Program itu akan bersiaran secara langsung bermula 14 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).


Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment