Dua pihak berebut lagu You'll Never Walk Alone

 
Hong Kong: Aktivis prodemokrasi dan penyokong kerajaan kini ada sebab terbaru untuk terus berbalah - lagu tema kelab bola sepak Liverpool.

Lagu You’ll Never Walk Alone dan kain rentang yang tertulis tajuk lagu itu semakin banyak dipamerkan di lokasi demonstrasi selepas seorang ahli parlimen prokerajaan menggunakannya untuk menunjukkan sokongan kepada polis.

Bagaimanapun lebih 1,000 penyokong tempatan Liverpool menandatangani iklan dua muka di akhbar tabloid prodemokrasi popular, Apple Daily, Sabtu lalu mengecam penggunaan lagu itu untuk mempertahankan tindakan polis.

Lagu itu adalah irama terbaru digunakan kumpulan penunjuk perasaan selepas beberapa lagu lain - termasuk lagu dari muzikal Les Miserables dan sebuah irama rock tempatan digunakan sebagai gimik.

Ketika mesyuarat dewan undangan negeri bandar raya itu bagi membincangkan cara polis menangani demonstrasi berkenaan, ahli parlimen pro-Beijing, Tam Yiu-chung berkata lagu You’ll Never Walk Alone sewajarnya menjadi perangsang semangat pasukan keselamatan berdepan aktivis prodemokrasi.

Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan penyokong Liverpool tempatan yang menganggap lagu itu sinonim dengan penentangan penyokong kelab berkenaan dengan siasatan polis dalam insiden di Hillsborough pada 1989 yang mengakibatkan 96 penonton bola sepak maut akibat bersesak di dalam stadium.

Selepas kejadian itu, polis Britain menuduh peminat mengakibatkan kekecohan seterusnya mencetuskan saman oleh kelab terbabit untuk membersihkan namanya.

Kes itu berakhir pada 2012 selepas panel kerajaan secara rasmi mendapati ketidakcekapan polis menjadi punca tragedi itu.

Peminat Liverpool yang juga peserta demonstrasi, Anthony Shiu, 19, antara yang menyelar tindakan Tam itu.

“Lagu berkenaan amat bermakna dan langsung tidak sesuai digunakan untuk menyokong tindakan polis Hong Kong sejak beberapa minggu lalu.

“Lagu itu mengingatkan mengenai kesan buruk penyalahgunaan kuasa polis - sama saja dalam kejadian di Hillsborough dan di sini,” katanya.


Sumber: myMetro

1 comment: