Klinik khas untuk lelaki yang jadi mangsa rogol kini dibuka

Hospital Södersjukhuset
 
STOCKHOLM - SWEDEN. Sebuah hospital di Sweden menjadi hospital pertama menubuhkan klinik khas untuk lelaki yang menjadi mangsa rogol dan serangan seksual.

Klinik khas yang dibuka di Hospital  Södersjukhuset adalah sebagai satu strategi untuk memberi kesamarataan jantina dalam penjagaan pesakit.

Sebelum ini,  Hospital Södersjukhuset telah menubuhkan klinik khas untuk wanita yang menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di bandar itu dimana hampir 600 hingga 700 pesakit menerima rawatan di situ dalam tempoh setahun.

Kini hospital yang menjadi pusat penjagaan kecemasan terbesar di wilayah Nordic kini membuka pintu kepada lelaki dan remaja yang menjadi mangsa rogol dan serangan seksual menerima rawatan dan perlindungan.

Jurucakap media Parti Liberal yang mengetuai kempen untuk klinik di bandar Sweden,  Rasmus Jonlund berkata, klinik khas untuk lelaki yang menjadi mangsa rogol adalah yang pertama di Sweden dan mungkin juga yang pertama di dunia.

"Kita tidak pasti berapa ramai yang akan menggunakan perkhidmatan ini, namun percaya ramai yang mengalami serangan seperti ini  akan tampil untuk mendapatkan rawatan," ujarnya dipetik The Local

Sementara itu, wakil majlis tempatan penjagaan kecemasan,  Marie Ljungberg Schott dalam  satu kenyataan berkata, penjagaan perubatan kecemasan untuk lelaki dirogol adalah percuma dan ditawarkan sepanjang masa.

"Setakat ini tidak ada tempat khusus untuk lelaki yang menjadi mangsa rogol untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan.  Oleh itu kami dalam Perikatan telah membuat keputusan untuk mengubah keadaan ini." katanya.

Menurut Majlis Pencegahan Jenayah Sweden, pada tahun 2014, 370 kes-kes serangan seksual terhadap lelaki atau kanak-kanak lelaki dilaporkan di seluruh Sweden dan pakar-pakar percaya bahawa angka sebenar adalah lebih tinggi.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment