Gadis menderita bersin 12,000 kali sehari

Katelyn Thornley
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang gadis menderita bersin sebanyak 12,000 kali sehari selepas keadaan pelik tersebut bermula tiga minggu lalu.

Menurut laporan Fox 26 News, Katelyn Thornley, 12, akan bersin sehingga 20 kali dalam tempoh seminit.

Walaupun sudah berjumpa dengan enam doktor pakar, punca sebenar keadaan tersebut gagal dikenal pasti.

Doktor menafikan virus, demam dan alahan sebagai punca Katelyn bersin tidak henti-henti.

Satu-satunya keadaan Katelyn tidak bersin adalah apabila beliau sedang tidur.

"Abdomen saya sentiasa sakit, kaki saya lemah dan saya sukar untuk menikmati makanan," kata Katelyn.

Katanya, keadaan menjadi teruk apabila beliau diejek kawan-kawan di sekolah.

"Di dalam mimpi pun saya bersin. Saya tidak kira apa doktor perlu lakukan untuk ubati saya, saya mahu penyakit ini berhenti," kata Katelyn yang merupakan seorang periang sebelum penyakit tersebut bermula.

Menurut seorang ahli neurologi, salah satu keadaan yang mungkin menyebabkan penyakit aneh tersebut adalah 'motor-tics'.

Dr Mered Parnes memberitahu, motor-tics menyebabkan pesakit akan mengalami kekejangan (spasm) dalam tempoh yang sangat singkat tetapi berulang-ulang.

Motor-tics tidak dapat dikawal dan kanak-kanak atau remaja lebih mudah terkena gejala tersebut.



Sumber: Sinar Harian

1 comment: