Romeo Pakistan perdaya wanita kena cekup

Seorang lelaki warga Pakistan ditahan imigresen kerana menggunakan taktik berkahwin wanita tempatan untuk mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang namun tidak menjaga kebajikan isterinya.

Seremban: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan anggota Jabatan Imigresen selepas didapati mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk mendapat pas lawatan sosial jangka panjang.

Lelaki itu ditahan ketika ingin memperbaharui pas berkenaan dan siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu meninggalkan isterinya yang berusia 21 tahun selepas mendapat pas itu. Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman, berkata lelaki itu mengahwini isterinya, Januari lalu dan sejak itu tidak pernah menjenguk isterinya.


Hilangkan diri lepas kahwin

Katanya, warga Pakistan yang dipercayai peniaga itu memperalatkan isterinya untuk mendapatkan pas itu yang membolehkannya tinggal di negara ini melebihi enam bulan.

“Bagaimanapun, nama dia dimasukkan dalam senarai warga asing dikehendaki selepas pegawai jabatan yang membuat pemeriksaan susulan di rumah isterinya di sini, mendapati dia sudah lama menghilangkan diri selepas berkahwin.

“Apabila dia datang untuk memperbaharui pas, pada jam 1.30 tengah hari kelmarin, kami segera menahannya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dia boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala pas lawatannya boleh dibatalkan dan diusir pulang ke negara asal.

Faizal berkata, kes seumpama itu keempat tahun ini dan pihaknya ingin menasihat wanita tempatan supaya tidak mudah mempercayai warga asing bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Wanita tempatan perlu berhati-hati dengan sesetengah warga asing yang tidak mencintai mereka, tetapi berkahwin kerana mempunyai muslihat, iaitu untuk tinggal lebih lama di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat wanita tempatan yang berdepan masalah sama membuat laporan supaya tindakan boleh diambil sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

BH

1 comment: