Penduduk kampung gempar kubur berlubang

Maazi menunjukkan kesan tanah di bahagian tepi sebuah kubur yang digali pada malam Jumaat lalu

TEMERLOH – Penduduk sekitar Kampung Kuala Sanggang, gempar apabila lima kubur di tanah perkuburan Kampung Belanka digali pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Sanggang, Maazi Rahmat Maharam Abdullah berkata, dua kali kejadian sama berlaku iaitu pada malam Jumaat seminggu sebelum Aidilfitri dan malam Jumaat minggu lepas.

Menurutnya, dalam kejadian pertama, sebanyak lima kubur digali sedalam kira-kira satu meter di bahagian kepala dan di kiri kanan membabitkan kubur empat perempuan dan satu lelaki.

“Kejadian berlaku pada malam Nuzul Quran dan disedari waris mangsa keesokan paginya manakala kejadian kedua pula pada malam Jumaat minggu lepas apabila tiga daripada lima kubur terbabit digali lagi dan dikambus semula,” katanya.

Katanya, penduduk bimbang berlaku kegiatan khurafat di kawasan kubur terbabit memandangkan cara gali adalah sama iaitu di bahagian kepala dan kiri serta kanan kubur.

“Kami tidak tahu si pelaku menjuruskan kepada kubur siapa, apa yang kami bimbang si pelaku melakukan perkara khurafat,” katanya.

Maazi berkata, dalam kejadian pertama dan kedua, pihak berkuasa agama menghantar beberapa pegawai ke lokasi kejadian untuk siasatan.

“Diharap mereka meneliti tujuan sebenar si pelaku berbuat demikian sama ada dia mengambil atau meninggalkan sesuatu di kubur terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen daripada waris mangsa kejadian tidak berhasil berikutan kesemua mereka enggan mendedahkan identiti keluarga.

Bagaimanapun, seorang daripada ahli keluarga terbabit mahu pihak berkuasa agama menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti si pelaku dan tujuan dia berbuat demikian sekali gus mengelak kejadian daripada berulang.

Kadi Temerloh, Badarudin Ahmad Bustami ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berdasarkan laporan pegawainya dan penduduk kampung.

“Kes gali kubur ini jarang berlaku, bagaimanapun dipercayai si pelaku dalam kejadian itu mengamalkan ajaran sesat.

"Kami akan siasat perkara ini hingga ke akar umbi,” katanya.

Sinar Harian

2 comments: