Arwah Datuk Mohd Fauzi Shaari digeruni penjenayah


Shah Alam: “Walau nampak lembut, arwah digeruni penjenayah,” itu gambaran diberikan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan mengenai bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Shaari yang meninggal dunia di Hospital Selayang, kelmarin.

Menurut Mohd Shukri, Allahyarham seorang yang amat disegani di kalangan pegawai PDRM berikutan sifat tegasnya selain memberikan nasihat terutama berhubung hal ehwal agama.


“Secara peribadi, saya mengenali arwah sejak dia bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam dan saya baru memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebagai Inspektor sekitar 1998.

“Kepemimpinan serta keterampilan Allahyarham dalam menggalas tugasan melayakkan beliau dijadikan model pegawai polis,” katanya ketika ditemui di pengebumian Allahyarham Mohd Fauzi di Tanah Perkuburan Seksyen 21, di sini, semalam.


Allahyarham yang lahirkan di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau Perak pada 1950 pernah menjadi Ketua Polis Selangor pada 2005 sebelum ke Bukit Aman Sebagai pengarah JSJ dan beliau menyertai PDRM pada April 1975.


Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fuziah Ngah Nordin, 60, serta tiga anak lelaki lain, Mohd Fazril, Mohd Fazrul, 33 dan Mohd Faznur, 28.

Sumber: Harian Metro

3 comments: