Tanam seluar dalam di kubur


“Saya bertaubat! Saya akui ini memang salah saya. Saya melakukan dosa besar terhadap suami sendiri. Saya insaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu lagi. Saya harap Ikram dapat memaafkan serta terus menerima saya sebagai isterinya.

Pada mulanya saya sang­ka tindakan menggunakan khidmat bomoh untuk mengunci nafsu suami terhadap wanita lain tidak akan memudaratkannya. Namun, ternyata ia perbuatan bodoh yang bukan hanya menyeksa suami, malah mendatangkan kesan terhadap saya juga.

Semuanya dilakukan kerana perasaan cemburu membuta-tuli terhadap Ikram yang kerap terbang ke luar negara selama berhari-hari walaupun me­nyedari itu memang tugasnya.

Saya melakukan perbuatan itu selepas diajak kawan untuk bertemu seorang bomoh selepas dia meyakinkan bahawa tindakan ‘mengikat’ suami mampu menjaga keharmoni­an rumah tangga tangga.


Rakan saya itu sudah menggunakan khidmat bomoh berkenaan untuk ‘mengikat’ suaminya dan saya dapat menyaksikan sendiri suaminya langsung tidak ‘melihat’ wanita lain serta setia kepadanya.


Melihat buktinya itu, saya mengikut dia bertemu bomoh berkenaan di Kuantan ketika Ikram terbang ke luar negara.

Apabila berjumpa bomoh itu, mulanya saya pelik dengan barang yang diminta iaitu seluar dalam yang sudah digunakan suami sebelum menyuruh saya bertemunya semula dengan membawa barang itu.

Selepas beberapa ming­gu, saya dan rakan pergi semula ke rumah bomoh itu dengan membawa seluar dalam Ikram. Upacara mengikat nafsu suami dimulakan dengan mengikat seluar dalam Ikram de­ngan kain kuning. Selepas dijampi, seluar dalam itu ditanam di kubur.

Bomoh itu mengenakan bayaran RM2,000 dan memberitahu kesan terhadap suami akan mula dirasai seminggu selepas itu.

Memang berkesan. Seminggu selepas upacara itu, saya dapat melihat perubahan ketara Ikram yang lebih romantis terhadap saya.

Bagaimanapun, tak lama kemudian saya mula hairan apabila dia mengelak apabila diajak untuk bersama sedangkan sebelum itu dia tidak pernah bersikap dingin terhadap saya. Dalam hati terdetik adakah perubah­an itu ada kaitan dengan tindakan saya mengunci nafsunya.

Apabila dia menceritakan masalahnya, saya rasa amat bersalah lalu menangis. Saya terus mengajaknya mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan Islam kerana tidak lagi mempercayai bomoh berkenaan. Saya berdoa agar masalahnya itu dapat disembuhkan segera.

Saya insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu. Saya nasihatkan wanita lain tidak melakukan tindakan bodoh kepada suami mereka seperti yang saya buat. Perbuatan syirik seperti itu lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Saya bertaubat dan memohon ampun kerana pernah menyekutukan Allah. Saya harap suami dapat mengampunkan segala dosa yang saya lakukan”

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment