Album Britney tak laku?

ALBUM baru Britney Spears mungkin tidak dapat menduduki tangga pertama dalam carta jualan sebagaimana diramal PerezHilton.


Britney Spears, 32, sudah biasa dengan fenomena albumnya berada di kedudukan teratas selepas seminggu ia dilancarkan.

Namun, tidak kali ini.

Menurut PerezHilton, Britney Jean mungkin terjual sebanyak 115,000 keping pada 10 hari pertama selepas ia dilancarkan, tetapi set album istimewa Garth Brooks, Blame It All On My Roots yang memuatkan lapan cakera padat dijangka meng­ungguli carta jualan.

“Brooks tidak merakam album sejak bertahun lamanya dan edisi istimewa itu laris dijual,” kata sumber industri muzik kepada media.



“Britney Jean akan terjual mengikut peredaran waktu. Malangnya, Britney tidak melakukan banyak promosi untuk album barunya itu, jadi mungkin jualannya turut terjejas pada minggu pertama selepas ia dilancarkan.”


Album baru wanita kelahiran Louisiana itu memaparkan irama yang menarik seperti lagu Perfume dan Body Ache.

Lagu duet bersama adiknya, Jamie Lynn, Chillin’ With You sudah mendapat perhatian ketika dilancarkan sebagai album single.

Britney Jean ialah album terbaru penyanyi itu dalam tempoh dua tahun dan yang kelapan setakat ini.

Pada Khamis, dia ber­sembang dengan peminat di Twitter bagi mempromosikan album barunya itu.

Britney berkata, lagu yang istimewa buatnya ialah Alien yang dikatakan­nya mengisahkan mengenai detik kesunyian iaitu bagaimana seseorang yang di kelilingi keluarga, rakan dan peminat yang menyayanginya tetapi masih berasa sunyi.

Penyanyi itu menghasil­kan album berkenaan bersama will i am yang turut tampil dalam album popularnya Scream & Shout.

Britney yang terkenal dengan lagu Oops I Did It Again juga berkata, lagu Perfume ialah mengenai hubungan yang tidak selamat dan perasaan tidak selamat terhadap orang yang paling disayangi.

Ketika dia bertanya, “Adakah anda boleh meneka lagu ini mengenai siapa?”, seorang peminat menjawab, ‘bekas kekasih kamu’. Orang itu mungkin Jason Trawick atau Kevin Federline.

Pada akhir bulan ini, Britney akan mengadakan persembahan di Planet Hol­lywood.

Banyak lagu barunya daripada album Britney Jean akan disampaikan dalam persembahan itu yang dijanjikannya berkonsep parti.

Minggu lalu, Britney menambah beberapa tarikh untuk konsertnya yang dijangka bakal berlangsung selama dua tahun.

Sementara itu, bekas juri X Factor itu dilaporkan memperoleh bayaran AS$30 juta (RM96.9 juta) sehari untuk tugasnya dalam ranca­ngan realiti televisyen itu.

Pada Sabtu lalu, Britney nampak gembira ketika dilihat menikmati yogurt beku di Thousand Oaks, California bersama teman lelakinya David Lucado dan anak lelakinya, Sean, 8, serta Jayden, 7.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment