Anak ayam bermata satu milik Mohd Nordin.
BACHOK – Seorang penggemar ayam serama terkejut apabila mendapati anak ayam serama miliknya menetas dengan hanya memiliki sebelah mata.
Mohd Nordin Mohd Noor, 43, berkata, kejadian itu disedarinya selepas ia menetas beberapa bulan lalu.
“Ini kali pertama saya jumpa sendiri ayam bermata satu. Saya letakkan ayam tersebut bersama anak ayam serama lain dan tiada penjagaan istimewa untuknya.
“Ia juga anak ayam yang paling manja dan sentiasa sihat. Bila saya buka sangkar, anak ayam mata satu ini paling cepat keluar mendekati saya, ” katanya yang menggemari hobi membela ayam tersebut sejak 35 tahun lalu.
Menurutnya, bermula dengan hobi, dia kemudiannya membela ayam serama secara komersial sejak 2010.
"Membela ayam serama memerlukan modal yang besar sehingga mencecah RM40,000.
“Ini antara faktor harga ayam serama mahal dan boleh mencecah hingga RM5,000 seekor dan paling murah sekitar RM100 seekor. Ia dikelaskan kepada beberapa kategori tertentu seperti serama anak (A dan B), serama muda (A dan B) dan serama induk (betina)," katanya.
Mohd Nordin berkata, permintaan terhadap ayam serama semakin meningkat terutama dari Indonesia kerana mereka mulai obses terhadap haiwan tersebut sejak akhir- akhir ini.
"Saya ada terima tempahan peminat ayam serama dari luar negara termasuk Indonesia dan Thailand. Ada juga dari Arab Saudi dan Amerika tetapi sebahagiannya tak dapat dipenuhi berikutan masalah penghantaran,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
kuasa allah
ReplyDeleteayam serama memang mahal. dulu ayah aku ada bela sekor, tapi dah jual sebab malas nak jaga dah hahaha
ReplyDelete