Pengawal keselamatan rakam gambar UFO di Kedah

Mahmood menunjukkan gambar didakwanya UFO yang berjaya dirakam ketika atas jambatan yang menghubungkan sempadan Pinang Tunggal Kedah dan Pulau Pinang.

SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan mendakwa terlihat objek terbang tidak dikenali (UFO) dan merakamkannya dengan telefon bimbit sebelum ia hilang.

Mahmood Hamid, 65, mendakwa, ternampak pemandangan matahari terbenam luar biasa ketika melalui jambatan menghubungkan Pinang Tunggal Kedah dengan Pulau Pinang, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

"Cahaya itu nampak cantik, jadi saya rakamkan gambarnya. Lepas itu, bila dongak semula, saya nampak ada objek macam piring terbang di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak bersedia dia hanya sempat mengambil gambar bahagian tepi objek.

"Objek ini sangat besar, menutupi jambatan dan sungai. Seakan tak percaya dengan apa yang saya nampak.

"Saya pernah dengar cerita mengenai UFO dan sangka ia sekadar dongeng atau rekaan fiksyen. Tapi, bila lihat dua gambar yang saya ambil, objek itu memang wujud," katanya.

Katanya, terdapat dua corong udara pada objek itu.

"Satu daripada corong itu hasilkan kabus warna ungu yang sangat cantik," katanya.

Sementara itu, Arifin Azin, 53, turut mendakwa pernah melihat objek sama ketika usianya lima tahun di Kampung Pengkalan Semeling tidak jauh dari Sungai Merbok.

"Objek setinggi 0.5 meter itu datang dekat hingga saya cuba untuk tangkap. Tapi tak berjaya dan ia hilang di kawasan hutan," katanya.

Rakan mereka, Md Shah Ismail, 59, yang membuat rujukan di laman sesawang menjumpai beberapa contoh rujukan maklumat seperti UFO yang dipaparkan.

“Berdasarkan bahan bacaan yang ditemui, lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun sekitar 1981 hingga 2008.

"Tanjung Sepat dan Sungai Petani antara lokasi paling kerap ia muncul,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment