Liverpool Atur Strategi Miliki Pemain Bermutu


PASUKAN Liga Perdana Inggeris, Liverpool berjaya mendapat enam pemain baharu musim ini dengan bayaran tertinggi sebanyak 29 juta Pound untuk pemain antarabangsa Brazil, Roberto Firmino.

Pasukan itu juga telah dikaitkan dengan pemain Aston Villa, Chrisitian Benteke tetapi The Reds menilai pemain itu lebih rendah daripada 32.5 juta Pound yang telah ditetapkan.

Pemain pertahanan Southampton, Nathaniel Clyne dan pemain tengah Manchester City, James Milner antara pemain yang bersetuju untuk menyarung jersi Liverpool musim hadapan.

Walaupun perbelanjaan pada musim ini tidak setinggi musim lepas, Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berjaya mendapatkan pemain-pemain berkualiti.

Pemilik kelab, Fenway Sports Group mempunyai prinsip mendapatkan pemain muda yang berpotensi dan Ian Ayre percaya adalah penting untuk mengekalkan prinsip tersebut.

"Sudah bertahun-tahun saya menjadi penyokong setia Liverpool.

"Seperti orang lain, saya juga mahu mendapatkan bintang-bintang ternama tanpa mengira harga tetapi seperti yang dilihat sebelum ini, tidak semuanya berjalan lancar dari segi kewangan.

"Anda perlu mempunyai rancangan terperinci dan memastikan semua orang faham dan berpegang teguh kepada pelan tersebut. Oleh itu, kami akan terus menguruskan kelab ini berpandukan rancangan itu," katanya.

Ayre juga percaya Liverpool mampu mendapatkan khidmat pemain-pemain ternama walaupun gagal untuk menyertai Liga Juara-Juara (UCL) pada musim hadapan.

"Walaupun kami tidak akan menyertai UCL musim hadapan, kami  menunjukkan peningkatan sebagai sebuah pasukan dan akan terus menambah pemain berkualiti dalam skuad ini.

"Kelab ini juga menunjukkan peningkatan dari segi kewangan dan ini bermakna kami akan terus ke hadapan dengan rancangan untuk menambah lagi sumber kewangan dan lebih banyak melabur lebih banyak berbanding sebelum ini," katanya lagi.



Sumber: mstar.com.my

1 comment:

  1. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

    ReplyDelete