Guna Doraemon panggil hujan

Upacara hae nang maew yang dilakukan untuk memanggil hujan.

PHRAE - THAILAND. Petani di Wilayah Nong Muang mengunakan kartun popular Jepun, Doraemon dalam sebuah upacara ritual untuk memanggil hujan.

Upacara memanggil hujan di wilayah berkenaan kebiasaanya menggunakan kucing hitam, namun diganti dengan Doraemon untuk mengelakkan penganiayaan kepada haiwan.

Dalam upacara ritual tersebut, petani yang terjejas akibat kemarau yang melanda kampung Wang Luang meletakkan anak patung Doraemon dalam sangkar kayu beserta gambar watak kartun itu pada bahagian luar sangkar dan berarak di sekitar kampung mereka dalam upacara ritual yang dipanggil "hae nang maew".

Sangkar itu diarak ke lima tempat dipercayai roh rumah nenek moyang mereka dan diikuti dengan majlis keagamaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Wang Luang, Rattakarn Jantanu berkata, upacara tradisional tersebut dilakukan selepas mengalami kemarau yang teruk, terutamanya di Nong Khai Muang.

"Untuk mengelakkan kritikan daripada masyarakat kerana menggunakan haiwan, penduduk kampung mengambil keputusan mengunakan patung Doraemon selepas tidak menemui patung kucing yang sesuai.

"Walaupun upacara ritual ini tidak berjaya menurunkan hujan, namun penduduk kampung masih gembira di atas usaha yang dilakukan," katanya dipetik Thai Rath Online.

Selain daripada kucing hitam, antara barangan lain yang diperlukan dalam upacara ini ialah buluh atau rotan, lilin, bunga dan sangkar kayu.



Sumber: Sinar Harian

1 comment: