Kerana Kacak, Banduan Kes Bunuh Berjaya Larikan Diri

Richard Matt (kiri) digelar lelaki kacak kerana mampu memikat mana-mana wanita yang diingininya.

 BERMODALKAN rupa yang kacak dan menarik, seorang daripada dua banduan kes bunuh berjaya memperdaya seorang pekerja wanita untuk membantunya melarikan diri dari sebuah penjara di New York.

Menurut akhbar New York Post, berdasarkan sumber yang dipercayai, salah seorang pembunuh tersebut, Richard Matt, 48, sememangnya terkenal dengan gelaran 'pencinta wanita' sehingga berjaya mengumpan dan memikat pekerja wanita itu untuk membantu mereka melepaskan diri.

Berdasarkan kisah yang diceritakan oleh seorang detektif bersara, David Bentley, Matt akan kelihatan kacak dan menarik sekiranya dia membersihkan dirinya.

"Dia akan mendapat wanita di mana-mana sahaja," katanya yang merupakan penyumbang kepada penangkapan Matt berikutan pembunuhan pada 1997.

 Paip yang menjadi laluan dua banduan melarikan diri dari sebuah penjara di New York.

Matt serta seorang lagi banduan, David Sweat, 34 (gambar , kanan), melarikan diri daripada penjara yang mempunyai tahap keselamatan  maksimum dengan menggunakan alat berkuasa tinggi untuk memotong paip besi.

Kedua-dua banduan itu diklasifikasikan sebagai 'individu berbahaya' dan kemudiannya meninggalkan sehelai nota kecil dengan lukisan karikatur serta tulisan 'Have A Nice Day' selepas melarikan diri.

Menurut penyiasat yang ditugaskan, mereka percaya bahawa ada individu lebih daripada seorang yang bersubahat dari dalam penjara.


Gabenor New York, Andrew Cuomo memberitahu agensi media tempatan, 'NBC's Today Show' bahawa mereka akan menjalankan siasatan lebih terperinci dahulu terhadap kontraktor dan penduduk.

"Semestinya saya akan terkejut sekiranya terdapat pengawal penjara yang bersubahat dalam kes ini.

"Tapi yang pasti, mereka sememangnya mendapat pertolongan kerana mereka tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat bantuan," katanya.

Sementara itu, New York menawarkan ganjaran berjumlah $100,000 (RM376,000) kepada sesiapa sahaja yang menyalurkan maklumat mengenai banduan tersebut.

Selain itu, menurut sumber yang dimaklumkan kepada New York Post, kejadian yang seakan filem Hollywood, 'Shawshank Redemption' itu memerlukan tempoh masa yang panjang untuk membuat perancangan lebih kemas.



Sumber: mstar.com.my

1 comment: