Dr Hayat Sindi ikon sains wanita Islam

Dr Hayat Sindi

SAINTIS perubatan Arab Saudi, Dr Hayat Sindi ini memberi sumbangan yang besar terhadap ujian perubatan dan bioteknologi. Beliau juga merupakan salah seorang wanita yang menganggotai Majlis al-Shura.

Selain itu, Hayat turut menduduki tangga ke-19 dalam senarai orang Arab paling berpengaruh di dunia dan berada di kedudukan ke-9 dalam senarai wanita Arab paling berpengaruh.


Kehidupan Awal

Hayat Sindi dilahirkan pada 1967 di Makkah dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan mempunyai lapan adik beradik.

Selepas tamat sekolah menengah, beliau meneruskan pengajian di kolej dan mengambil jurusan perubatan.

Ketika itu, Hayat mula menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan dan beliau nekad untuk melanjutkan pengajiannya ke luar negara pada 1991.

Pada mulanya, hasrat tersebut mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya, namun mereka akhirnya akur dengan keputusan wanita tersebut.

Hayat mengambil masa kira-kira setahun untuk belajar bahasa Inggeris dan menyambung pengajian peringkat A-level.

Beliau akhirnya diterima masuk ke King’s College London, di mana wanita tersebut berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam farmakologi pada 1995.

Ketika masih menuntut, Hayat pernah berdepan tekanan hanya kerana beliau bertudung.

Bagaimanapun, beliau lantang mempertahankan haknya dengan menegaskan bahawa agama, warna kulit dan jantina seseorang tidak mempunyai kaitan dengan sumbangan saintifik.


Jalankan banyak kajian

Hayat pernah bekerja di Pusat Penyelidikan Makmal Schlumberger di Cambridge ketika beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah kedoktoran.

Ketika itu, beliau berjaya mencipta Magnetic Acoustic Resonator Sensor (Mars) kerana wanita tersebut memerlukan mesin yang tepat dalam kajiannya.

Mesin tersebut menggabungkan kesan cahaya dan ultrabunyi untuk kegunaan dalam bidang bioteknologi serta aplikasi dalam bidang lain seperti perubatan termasuk mengesan barah pada peringkat awal.

Selepas beberapa tahun melakukan penyelidikan, Hayat akhirnya dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang bioteknologi, sekali gus menjadi wanita Arab dan Islam pertama yang memperoleh PHD dalam bidang tersebut.

Selepas tamat pengajian, Hayat berhasrat membantu individu yang tidak mampu untuk membayar kos penjagaan perubatan.

Hayat berhijrah ke Amerika Syarikat, di mana beliau mengikuti program MBA di Harvard Business School dalam bidang mengkomersialkan sains dan teknologi tinggi.

Ketika menuntut di Harvard, beliau mengikuti kelas Profesor George Whitesides yang menggunakan kertas dan pita pelekat untuk menghasilkan alat yang dapat mengukur paras protein dan gula dalam darah serta air kencing.

Idea tersebut memberi inspirasi kepada Hayat untuk menubuhkan pasukan terdiri daripada rakan sekuliahnya untuk mewujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Diagnostics for All.

NGO tersebut menawarkan alat diagnostik mikro untuk membolehkan pekerja kesihatan menjalankan tugas mereka walaupun tanpa akses rawatan perubatan.

Tidak lama selepas itu, Hayat membuka syarikat bukan berasaskan keuntungan, Paper Diagnostics Inc (PDI) bersama Whitesides yang bertujuan untuk mewujudkan hidup lebih berkualiti dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.


Kredit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment