Rakyat Tempatan Percaya Gempa Kerana Kuasa Ghaib - Ahli Antropologi


KUCHING: Kekuatan kuasa ghaib menjadi kepercayaan berlaku bencana alam di Gunung Kinabalu yang seolah-olah sukar untuk dijelaskan, kata ahli antropologi Universiti Malaysia Sabah.

Dr Paul Porodong berkata, walaupun sehingga kini tiada bukti yang mengesahkan gambar bogel pendaki di puncak gunung itu betul atau disunting, mereka telah dipersalahkan kerana kejadian itu bersesuaian dengan kepercayaan masyarakat tempatan.

Pensyarah di Fakulti Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan itu berkata, gambar bogel di puncak gunung menjadi penyebab kepada kemarahan masyarakat selepas gambar itu dikongsi di laman sosial minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum gempa bumi berlaku.

Gunung Kinabalu merupakan salah satu tempat suci kaum Kadazandusun dan katanya, perbuatan tidak hormat itu dikaitkan dengan kejadian yang berlaku.

"Menyalahkan pendaki yang berbogel merupakan salah satu kepercayaan penduduk tempatan. Sistem kepercayaan adalah sesuatu yang tiada penjelasan atau bukan fenomena saintifik. Gunung Kinabalu dianggap tempat suci dan bukan produk pelancongan oleh penduduk tempatan.

"Mereka menganggap ia menyimpan semangat nenek moyang," katanya.

Kerajaan Sabah turut menghormati kepercayaan yang diamalkan masyarakat tempatan negeri itu.

Bagi tempoh tiga tahun ini, majlis tahunan dikenali sebagai "Kakakapan ID Gayo Ngaran" telah dianjurkan.

Ia adalah upacara untuk nenek moyang Kadazan Dusun dan Taman-Taman Sabah menutup gunung tersebut sehari daripada pendaki warga asing.

Kepercayaan turut menjadi salah satu peraturan di Mahkamah Anak Negeri. Penalti dan denda akan dikenakan jika menjadi penyebab kepada kemarahan semangat atau roh.

Tambahnya, jika bukan disebabkan gambar bogel tersebut, mungkin punca berkaitan perkara tidak hormat lain pula akan dikaitkan dan dipersalahkan.

Bagi ahli pensyarah di Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr Andrew Aeria menganggap tuduhan-tuduhan punca gempa bumi itu adalah kepercayaan karut.

Katanya, ia jelas sebagai bencana alam apabila terjadinya kejadian seismik.

Beliau turut mengkritik Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Pairin Kitigan kerana memberi kenyataan kepada media tentang terdapat sekawan burung layang-layang mengelilingi rumahnya, pada Ahad.

"Gempa bumi tidak mempunyai kaitan dengan burung dan tiada kaitan dengan pelancong asing yang berbogel. Ia adalah gempa bumi.

"Jika ramai yang percaya tentang burung yang dikatakan oleh Tan Sri Pairin ia menunjukkan sistem pendidikan kita telah gagal.

"Kita bercakap untuk menjadi negara maju?, namun menunjukkan contoh salah satu negara mundur di Asia Tenggara," ujarnya.


Sumber: mstar.com.my

1 comment: