Wanita Pertama Perancis bakal dihalau dari Istana Presiden?

 Valerie Trierweiler. Foto: theguardian.com

Paris: Wanita Pertama Perancis Valerie Trierweiler berdepan kemungkinan menjadi orang pertama dalam sejarah ‘dihalau’ dari Istana Presiden, Palais de l’Élysée Ini berikutan laporan memalukan bahawa pasangannya Presiden Francois Hollande, 60, kini bercinta dengan seorang wanita hampir 20 tahun lebih muda daripadanya.

Hubungan Hollande dengan pelakon Julie Gayet, 41, didedahkan dalam majalah Perancisk, Closer yang turut menyiarkan beberapa gambar menunjukkan keintiman presiden itu dengan kekasihnya.

Kisah itu bukan saja mendedahkan hubungan sulit Hollande, malah turut berkait dengan skandal penipuan serta isu keselamatan membabitkan dana awam, selain kos menyara Wanita Pertama yang sebenarnya tidak lagi diiktiraf kedudukannya.

Hollande dijangka membuat kenyataan rasmi bagi menjelaskan kedudukan Valerie yang kini mempunyai lima kakitangan selain menikmati pelbagai kemudahan negara, termasuk rumah di sekitar Perancis, jet peribadi dan limosin - semuanya dibiayai dana awam.

Ahli politik juga mula mempertikaikan fungsi Valerie berikutan pendedahan skandal Hollande.

Ahli Parlimen Daniel Fasquelle mempersoalkan siapa yang kini memegang gelaran Wanita Pertama.

“Wajarkah dia terus tinggal di Elysee dengan disara wang rakyat sedangkan presiden pula menjalin hubungan sulit?” soalnya.

Anggota parti pembangkang Georges Fenech pula mencadangkan Hollande dan Valerie keluar dari Elysee.

“Isu peletakan jawatan Hollande perlu difikirkan, selain kita memandang kepada nilai murni asas negara kita.

“Perkara ini amat menjatuhkan maruah Perancis,” katanya.

Menurut Fenech, Hollande menggunakan pengawal peribadi yang dibayar menggunakan cukai pendapatan rakyat untuk menjaganya ketika pertemuan sulit dengan Julie yang juga mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu dengan pengarah filem Santiago Amigorena, 51.

Valerie sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, namun sumber terdekat mengakui dia amat marah dan malu.

Desas-desus pula mengatakan dia dan Hollande sudah lama tinggal secara berasingan, selain presiden itu mahukan hubungan ‘lebih rasmi’ dengan Gayet.- Agensi

Sumber: Harian Metro

2 comments: