Penyamun bodoh dicekup

 
 
Kota Bharu: Seorang daripada dua suspek yang diburu selepas menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di bandar Tanah Merah, dekat sini, menggunakan raifal M-16, 30 Disember tahun lalu, ditahan polis, kelmarin.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 10 malam di sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bahru, Tumpat.


Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan bersama dua wanita berusia 56 dan 32 tahun yang dipercayai membantunya bersembunyi.

"Mereka direman seminggu bermula hari ini (semalam) sehingga 12 Januari ini bagi membantu siasatan.


"Hasil siasatan turut mendapati dua wanita yang ditahan itu adalah isteri dan anak tiri kepada seorang lagi suspek yang masih bebas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah (Kenderaan dan Rumah) dan Pelancaran MD Life Sdn Bhd di Dewan Majlis Daerah Ketereh, dekat sini, semalam.


Menurut Mazlan, polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang masih bebas iaitu Hasdera Ismail, 45, dari Wakaf Baru, Tumpat.

"Suspek yang masih bebas itu mempunyai enam rekod jenayah, kebanyakannya kes dadah dan berada dalam senarai penjenayah dikehendaki polis.


"Kami percaya suspek baru berjinak-jinak melakukan jenayah samun selain masih berada di negeri ini dan kita giat memburunya," katanya.

Harian Metro pada 1 Januari lalu melaporkan, walaupun menggunakan raifal M-16 dan bertindak ganas ala koboi apabila melepaskan satu das tembakan, tiga penjenayah yang menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di bandar Tanah Merah boleh digelar 'penyamun bodoh'.


Ini kerana mereka berhenti makan selepas menyamun di kedai makan yang jaraknya hanya tiga kilometer dari kedai yang dirompak menyebabkan seorang daripada mereka yang berusia 51 tahun dan berasal dari Rantau panjang dicekup polis hanya dalam tempoh setengah jam selepas kejadian, manakala dua lagi lolos dan sedang diburu.


Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, dua daripada penjenayah berkenaan memakai topeng dan masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta jenis PROTON Wira berwarna ungu.


Ketika berada di dalam kedai, seorang daripada mereka yang bersenjatakan M-16 melepaskan satu das tembakan ke arah peti sejuk minuman, manakala seorang lagi yang bersenjatakan parang meluru ke kaunter bayaran dan hanya memperoleh RM300.

Sumber: Harian Metro

2 comments: