Pencemaran di China punca perubahan iklim dunia

 
PENCEMARAN udara ekstrem yang berlaku di negara-negara Asia sejak kebelakangan ini memberi kesan kepada cuaca dan corak iklim dunia.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti A&M, Texas, Amerika Syarikat dan Makmal Perejangan Jet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendapati China merupakan penyumbang besar kepada pencemaran udara di Asia.

"Perkembangan ekonomi negara berkenaan sejak 30 tahun lalu menyebabkan berlakunya kepesatan sektor pembangunan. Tahap pencemaran udara di beberapa bandar utama China seperti di Beijing ialah 100 kali lebih tinggi daripada had yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia," ujar pensyarah Sains Atmosfera Universiti A&M Texas, Prof. Renyi Zhang.

Para pengkaji menggunakan model iklim dan data terkumpul mengenai aerosol dan meteorologi sejak 30 tahun lepas.

Tambah Zhang, model tersebut jelas menunjukkan pencemaran udara banyak berlaku di Asia yang memberi kesan kepada atmosfera sehingga menjadikan ribut atau taufan bertukar lebih ganas.

"Pencemaran ini memberi impak kepada pembentukan awan, hujan, keamatan ribut dan faktor-faktor lain yang akhirnya mengubah iklim. Ia menyebabkan cuaca beberapa tempat di Amerika Utara terjejas," ujarnya.

Kajian itu turut melaporkan peningkatan pembakaran arang batu dan pelepasan asap kenderaan merupakan punca utama pencemaran di China dan negara Asia lain.

"Beberapa kajian perlu dilakukan pada masa hadapan untuk mencari punca aerosol sehingga meninggalkan kesan pada iklim dunia," jelas Zhang.

Sumber: kosmo

No comments:

Post a Comment