M16 hilang: 8 askar direman

Lapan anggota tentera dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tanah Merah selepas dikenakan tahanan reman berhubung kes kehilangan selaras raifal M16, semalam.

 TANAH MERAH - Mahkamah majistret, di sini, memerintahkan lapan anggota tentera direman empat hari bagi membantu siasatan kes kehilangan selaras raifal M16 di Kem Batalion ke-2 Rejimen Sempadan Batu Melintang, dekat Jeli, kelmarin.

Majistret Lukman Hakim Abu Bakar Sedik membenarkan perintah reman itu bermula semalam hingga Ahad ini.

Lapan anggota tentera terbabit yang berpakaian lokap polis tiba di pekarangan mahkamah menaiki trak polis pada jam 9.15 pagi sebelum dibawa keluar pada jam 11.27 pagi.

Ketika kejadian petang kelmarin, pegawai pemerintah kem itu dimaklumkan selaras raifal M16 hilang dan belum dimasukkan ke dalam stor senjata Kompeni C setelah selesai menjalani latihan kawad di kem berkenaan.

Pegawai pemerintah kem kemudian mengarahkan pintu pagar utama kem dikuatkuasakan dengan ketat sebelum membuat laporan pada jam 5.12 petang, di Balai Polis Batu Melintang, Jeli.

Siasatan awal polis mendapati, pemilik senjata api berpangkat Lans Koperal dari Kem Sungai Tumbi menyerahkan senjata tersebut kepada seorang rakan untuk dipulangkan ke stor selepas selesai menjalani latihan kawad.

Rakan pemilik senjata itu bagaimanapun melonggokkan senjata tersebut bersama senjata rakan-rakan lain dan dimasukkan ke dalam Land Rover untuk dibawa balik ke kem, kira-kira tiga kilometer dari tempat latihan.

Semua senjata milik kompeni C kemudian dilonggokkan di hadapan stor senjata kem berkenaan.

Namun, apabila pemilik senjata api itu memulangkan kelopak peluru M16 dan sebilah benet pada jam 1.30 tengah hari, penjaga stor memaklumkan senjata miliknya masih belum dipulangkan dan belum dimasukkan ke dalam stor.

Susulan laporan polis dibuat pegawai pemerintah terbabit, lapan anggota tentera termasuk pemilik senjata dan rakannya serta penjaga stor ditangkap.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment