Beli satu kalungan bunga, pelanggan akan dapat layanan tarian khas daripada GRO

GRO warga Thailand yang ditahan dalam Ops Cantas Noda di Puchong, semalam

PUCHONG - Dengan hanya membeli satu kalungan bunga, pelanggan sebuah pusat hiburan di sini akan mendapat layanan tarian khas daripada pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand yang diminati mereka.

Bagaimanapun, belum sempat menikmati kepuasan daripada gadis ‘bergetah’ ditawarkan, premis dikunjungi mereka di Pusat Bandar Puchong, dekat sini diserbu sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, pelanggan perlu membeli kalungan bunga dengan harga RM100 dan boleh memilih mana-mana gadis GRO untuk melayan mereka.

Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang, Sobberi Ismail berkata, daripada jumlah dibayar pelanggan, separuh diambil pengusaha manakala selebihnya diberikan  kepada gadis pelayan terbabit.

Lebih ramai pelanggan yang membeli kalungan bunga, lebih banyak komisen diperoleh pelayan yang menjadikan pekerjaan itu sebagai cara mudah mendapatkan kemewahan.

Ketika serbuan, 12 gadis berpakaian seksi terbabit dikatakan sedang asyik melayani 50 pelanggan lelaki tempatan yang dahagakan layanan mesra mereka.

Pemeriksaan dijalankan mendapati kesemua GRO termasuk enam pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 30-an didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini.

“Risikan dilakukan mendapati  GRO terbabit diberikan tip separuh harga bagi setiap jualan kalungan bunga berharga RM100. Selepas pembelian kalung bunga dibuat, pelanggan boleh memilih mana-mana  pelayan disukai untuk dijadikan teman berhibur,” katanya.

Beliau berkata,  penjaga premis turut ditahan kerana perniagaan dijalankan tidak memiliki lesen sah pihak berkuasa.

Kesemua yang ditahan dalam  Ops Cantas Noda kelmarin dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian


1 comment: