UiTM Lendu sifatkan kejadian histeria kes terpencil

UiTM Lendu
ALOR GAJAH - Dakwaan kewujudan makhluk halus serta kejadian histeria membabitkan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini yang heboh diperkatakan menerusi laman siber menggemparkan pelajar di situ.

Isu itu menjadi bertambah hangat apabila ada pihak turut mendakwa berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar.

Malah, terdapat beberapa laman blog termasuk yang dipercayai dikendalikan pelajar institusi berkenaan turut memuatkan foto menunjukkan kelibat wanita seolah-olah penari Mak Yong di belakang salah seorang pelajar ketika mengambil gambar.

Cerita berkenaan kini hangat diperbincangkan di laman Twitter menerusi beberapa 'hash tag' yang diwujudkan khas untuk isu berkenaan termasuk #HantuDiUiTMLendu dan #PrayForLendu.

Yang pastinya, dakwaan mengenai makhluk halus berkenaan bukan saja mencetuskan ketakutan lebih 9,000 pelajar di kampus berkenaan, tetapi turut mengakibatkan perdebatan antara mereka yang percaya dan tidak dengan cerita mistik berkenaan.

Akui pernah berlaku histeria

Walaupun cerita mengenai wujud hantu di UiTM Lendu sedang hangat diperkatakan, namun bagi pelajar universiti berkenaan, kebanyakan pelajar tidak mengambil kisah mengenai perkara itu.

Walaupun mereka akui pernah berlaku kejadian histeria di kampus berkenaan dan adakalanya mereka risau dan takut, namun setakat ini belum ke tahap membimbangkan seperti mana dilaporkan dalam laman siber.

Seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Nurul Amalina, 20, berkata, walaupun terdapat dalam laman blog, Twitter dan Facebook mengenai kewujudan hantu di UiTM Lendu, namun ia masih boleh dipertikaikan.

“Saya sendiri tidak pasti akan kesahihannya. Bagaimanapun, memang ada pelajar yang balik ke rumah mereka kerana takut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampus berkenaan, semalam.

Menurut pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu, gangguan histeria berlaku di kalangan pelajar sebelum ini mungkin disebabkan teka-nan dihadapi atau lemah dari segi kerohanian.

Bagaimanapun, seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, kejadian histeria tidak mustahil boleh berlaku di mana-mana saja.

Sebagai pelajar, katanya, aspek ibadah dan rohaniah perlu mantap bagi memastikan pelajar tidak lemah semangat berhadapan pelbagai bebanan tugas sebagai seorang pelajar.
“Memang benar perkara ini kecoh diperkatakan kini. Saya rasa rakan-rakan perlu berhati-hati," katanya.

Belum ada bukti dipukau

Selain kemunculan makhluk halus yang heboh diperkatakan ini, dakwaan berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar turut menjadi antara topik perbualan hangat.

Pihak pentadbiran universiti terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan kerana menurut mereka, setakat ini, belum ada bukti wujudnya kejadian seperti yang dilaporkan itu, sekaligus mendakwa kemungkinan ia dilakukan pelajar kampus itu sendiri.

Walaupun demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti dikatakan telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap blok asrama pelajar sebagai langkah berjaga-jaga.

Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan sebarang kes kecurian boleh didakwa di bawah Akta 174 Tatatertib atau sekiranya serius, akan dirujuk kepada polis untuk tindakan.

UiTM sifatkan kejadian sebagai kes terpencil

Sementara itu, pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini mengakui wujud kejadian pelajarnya yang tinggal di kampus berkenaan diganggu histeria.

Bagaimanapun, mereka mendakwa, keadaan kampus berada dalam keadaan baik dan terkawal dan turut berharap semua pihak mengelak dari membuat komen peribadi, terutama di alam siber kerana dibimbangi akan mencetuskan rasa kurang senang terutama di kalangan ibu bapa.

Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Abdullah berkata, kejadian histeria , penemuan makhluk halus dan laporan kehilangan barangan pelajar di asrama adalah kes terpencil dan peristiwa berlaku secara berkala.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada kes kronik sehingga menyebabkan pelajaran mahasiswa terganggu atau terpaksa berhenti pengajian berikutan masalah itu.

“Pengurusan UiTM menerusi Pusat Islam, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej, pihak masjid, polis bantuan dan seluruh warga kampus berhadapan dengan isu ini buat jangka masa lama.

“Secara zahirnya, kebanyakan pelajar diganggu histeria adalah dari kalangan pelajar wanita dan memulakan pengajian dari semester satu hingga tiga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Justeru, beliau menasihatkan hampir 9,000 pelajar di kampus berkenaan, selain kira-kira 5,000 pelajar yang ditempatkan di kampus cawangan bandar Melaka menumpukan kepada pelajaran dan tidak terpengaruh dengan cerita menakutkan.

Sementara itu, mengenai dakwaan pelajar berhubung kejadian pukau dan duit pelajar yang hilang, Muhammad Anwar Fahmi berkata, ia dipercayai disebarkan pelajar yang menyalah gunakan wang diberikan ibu bapa untuk perkara tidak bermanfaat.

“Laporan kejadian pukau, kononnya pelajar hilang wang masih belum ada kejadian serius berlaku,” katanya.

Beliau turut berharap ibu bapa tidak perlu bimbang dengan khabar yang dilaporkan dalam laman blog, Facebook dan Twitter mengenai kejadian itu yang turut mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selain pihak tertinggi universiti berkenaan.

sinar harian


No comments:

Post a Comment